SD Mat Zain: Sengaja ditutup?


Elizabeth Zachariah, TMI

Keengganan Putrajaya menjalankan siasatan berhubung tuduhan terhadap Peguam Negara oleh bekas polis kanan dilihat sebagai konspirasi untuk “menutup” kesalahan yang dilakukan pegawai kanan kerajaan, kata Pakatan Rakyat.

Mereka berkata akuan bersumpah (SD) oleh bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) membawa merit kepada siasatan tetapi sikap berdiam diri Putrajaya menunjukkan ada unsur untuk menutup perkara itu.

Ahli Parlimen Padang Serai dari PKR, N Surendran, mendakwa ini adalah senario biasa apabila membabitkan rasuah dan salah laku oleh mereka di dalam kerajaan.

“Daripada peringkat tertinggi di Putrajaya hingga ke bawah, sudah jelas mereka mahu menutup tuduhan ini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Surendran berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa polis tidak akan menyiasat tuduhan dalam SD Mat Zain berikutan tiada laporan polis dibuat.

Mat Zain berkata, dua hari lalu, beliau menyerahkan salinan SD kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan pegawai kanan Putrajaya, menuduh salah laku Gani berhubung kes pemilikan Pulau Batu Puteh.

Menerusi SD setebal 31 halaman itu, Mat Zain mendakwa, jutaan ringgit bertukar tangan dan didepositkan ke dalam akaun bank di Hong Kong berhubung kes Pulau batu Puteh, di mana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berpihak kepada Singapura.

Mat Zain mendakwa, Abdul Gani dengan sengaja menyebabkan kes itu kalah sehingga membawa kepada keputusan ICJ berpihak kepada Singapura.

Beliau mendesak pihak berkuasa menyiasat sebab sebenar Malaysia kehilangan pulau itu kepada Singapura dengan menyatakan ia adalah perkara membabitkan kedaulatan negara.

Ahmad Zahid berkata, pihak berkuasa akan mempertimbangkan untuk menyiasat tuduhan itu jika laporan polis dibuat mengenainya dan pengisytiharan SD tidak membawa kepada laporan polis, maka tidak ada kertas siasatan yang dibuka.

Surendran yang menyelar kenyataan itu berkata, mengikut Akta Polis, tidak ada dinyatakan keperluan laporan polis untuk menjalankan siasatan.

“Bagaimana jika kes bunuh atau rompakan bersenjata? Adakah mereka tidak akan siasat kes seperti itu sehingga ada laporan dibuat?

“Sepatutnya, jika polis tahu atau dengar mengenai apa-apa salah laku, mereka bertanggungjawab untuk menyiasat walaupun tidak ada laporan,” katanya yang juga seorang peguam.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata “sangat pelik” apabila Putrajaya tidak mengambil tuduhan Mat Zain secara serius.

“Ia adalah jelas satu tuduhan yang serius. Ia membabitkan pengkhianatan dan rasuah yang mengancam kedaulatan negara.

“Dan siasatan tidak dilakukan hanya kerana tidak ada laporan polis dibuat,” katanya.

Menggambarkan alasan Ahmad Zahid untuk tidak menyiasat tuduhan Mat Zain sebagai tidak kukuh langsung, Khalid berkata, kes itu perlu dibawa kepada Yang di-Pertuan Agong.

“Ia kelihatan seperti kedaulatan negara kita dijual. Ini bukan perkara kecil,” kata ahli politik PAS itu.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...