Umno Disaran Wujud Portfolio Sesuai Untuk Golongan Ulama
(Bernama) – Ulama dan cendekiawan agama yang menyertai Umno perlu diberi portfolio bersesuaian agar golongan itu tidak dilihat sekadar memenuhi kerusi di dalam parti.
Mencadangkan perkara itu, Exco Pergerakan Pemuda Umno Dr Fathul Bari Mat Jahya berkata kewujudan portfolio tertentu akan membantu ulama memahami dengan jelas peranan mereka dalam usaha bersama Umno memartabat agama, bangsa dan negara.
“Harapan saya agar ulama yang menyertai Umno, terutama di peringkat Majlis Tertinggi, diberi portfolio yang jelas supaya kehadiran mereka tidak dilihat sebagai pelengkap di dalam Umno sahaja,” katanya semasa menyokong usul ucapan dasar Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2013 di sini Khamis.
Memuji langkah Umno membawa konsep inklusif dengan memberi ruang kepada ulama di dalam parti, Fathul Bari berkata kewujudan portfolio itu juga akan memperlihatkan kepada masyarakat peranan serta hala tuju ulama yang dilantik dan secara tidak langsung rakyat dapat merasai impak kewujudan golongan berkenaan di dalam Umno.
Fathul Bari, yang juga Penasihat Eksekutif Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda (ILMU), turut menyarankan agar kerajaan menubuhkan satu institusi khas bagi menangani penyebaran hadis palsu.
“Kita cadangkan wujudkan satu institusi khas atau kembangkan institusi yang ada, sebagai contoh lembaga penapisan teks Al-Quran kepada hadis.
“Ini kerana antara satu dakyah untuk menyebarkan ajaran sesat ialah melalui hadis palsu,” katanya.
Menyentuh peranan mahasiswa, Fathul Bari meminta Umno memberi perhatian yang seimbang kepada golongan itu di dalam dan luar negara.
Beliau berkata ini kerana mahasiswa adalah antara golongan yang berperanan penting membantu dan menyumbangkan idea kritis serta kreatif dalam pembangunan Umno.