DAP pilih Mat Sabu untuk jinakkan PAS


limguaeng-matsabu

Empire Strikes Back

Ramai yang masih ragu-ragu walaupun Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah tampil memberi kenyataan bahawa dia tiada kena mengena dengan pemilihan Mat Sabu sebagai Pesuruhjaya PAS di negeri itu. Jika benar keputusan ini adalah kehendak pucuk pimpinan PAS, bebas dari campur tangan Lim Guan Eng, maka ianya adalah keputusan yang bakal menjerat leher mereka sendiri.

Umum tahu hubungan baik antara Mat Sabu dan Lim Guan Eng kerana mereka pernah menjadi ‘jiran’ sewaktu di bawah tahanan ISA pada 1987 hingga 1989. Mat Sabu juga dilihat sering menjadi jurucakap tidak rasmi kepada Lim Guan Eng begitu juga sebaliknya. Lim Guan Eng dengan terbuka menyatakan sokongan terhadap Mat Sabu bila Mat Sabu berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Timbalan Presiden PAS sewaktu muktamar 2013.

November lalu, PAS Pulau Pinang mula bersuara mengenai ketidakpuasan hati dengan layanan yang diterima PAS di negeri itu. Malah kumpulan ini yang diketuai oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Mohd Fauzi Yusof mengancam akan meletak jawatan dalam beberapa jawatan, portfolio dan posisi jawatan tertentu dalam kerajaan negeri jika tuntutan dan ketetapan dalam yang telah dipersetujui dalam Pakatan Rakyat tidak diambil serius oleh pihak kerajaan negeri dan Majlis Pakatan Rakyat.

Tindakan balas dari Guan Eng tentang perkara ini dilihat tidak lebih sebagai gimik menyelamatkan partinya sendiri. Guan Eng mengeluarkan kenyataan bahawa masalah di Pulau Pinang bukan antara PAS dan DAP, sebaliknya antara PKR dan PAS.

Jadi sekiranya PAS melihat tindakan meletakkan Mat Sabu sebagai Pesuruhjaya PAS di Pulau Pinang sebagai gerak untuk menjinakkan Guan Eng, betapa percaturan mereka kali ini mungkin memakan diri. Sama ada PAS sedar atau tidak, mereka telah merelakan diri mereka ‘dijinakkan’ di Pulau Pinang.

Ketika Guan Eng sibuk mendedahkan masalah dalaman parti antara PAS dan PKR, dia seolah lupa bahawa mata umum terus menilai apa yang berlaku dalam DAP sendiri.

DAP Pulau Pinang dilihat tidak lagi stabil sejak 2011 lagi apabila Karpal Singh menyalahkan Dr. P. Ramasamy mengenai kekeliruan tentang penamaan calon dalam suratkhabar Makkal Osai yang memetik nama Ramasamy sebagai sumber mereka. Walau kenyataan dari parti menyatakan bahawa masalah antara kedua pemimipin itu telah selesai, tindakan Karpal pada 2012 dilihat sebagai rentetan rasa tidak puas hati terhadap Ramasamy bila dia bersama Lim Kit Siang juga Lim Guan Eng mengambil keputusan menggugurkan empat anggota parti yang dilantik oleh Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P. Ramasamy daripada Lembaga Pembiayaan Hindu dan Lembaga Rayuan Negeri.

Penafian Lim Guan Eng mengenai ketidakstabilan didalam DAP adalah seperti menutup bangkai gajah dengan daun keladi. Ini kerana ramai tahu, malah Lim Guan Eng sendiri tahu bahawa dia tidak begitu disenangi di dalam parti.

Tindakan Lim Guan Eng memanipulasi pemilihan parti pada Disember 2012 juga September 2013 dilihat sebagai langkah terakhir Guan Eng bagi menyingkirkan golongan-golongan yang tidak sebulu dengannya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...