Rafizi dicabar Hasan Malek
(KL Post) – Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dicabar mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan bahawa kerajaan bertindak menjual aset negara demi menutup kegagalan mencapai sasaran defisit membabitkan hutang negara.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hasan Malek berkata, Rafizi tidak sepatutnya melemparkan tuduhan tidak berasas begitu.
“Kalau betul kata beliau, maka tunjukkan buktinya pada kita dan bukannya sekadar bersandarkan pada petikan laporan luar. Dalam hal ini, nampaknya beliau seolah-olah cuba mengelirukan rakyat dengan fakta diperoleh.
“Bagi kita, tohmahan itu sama sekali tidak benar memandangkan pertumbuhan ekonomi negara cukup baik pada masa kini. Kalau tidak, masakan negara kita boleh melonjak ke tangga keenam berbanding tempat ke-12 pada tahun lalu bagi negara yang mudah untuk menjalankan perniagaan di dunia,” katanya.
Menurutnya, tidak cukup dengan itu, negara ini terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Kuala Lumpur dinobatkan sebagai syurga membeli-belah keempat di dunia menerusi hasil kaji selidik dilakukan CNN, baru-baru ini.
“Semua ini jelas menunjukkan negara kita mempunyai kedudukan kewangan dan ekonomi yang kukuh sehingga turut diyakini dunia, sekali gus menyangkal tuduhan dilontarkan Rafizi,” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri majlis penutup Rainforest Outdoor Festival 2013 (Rofest’13) di Hutan Lipur Ulu Bendul, dekat sini, semalam.
Terdahulu, Rafizi melalui portal berita PKR mendakwa, kerajaan mengambil jalan menjual aset negara dan menerbitkan lebih banyak sekuriti hutang daripada aset berkenaan semata-mata untuk menutup kegagalan pentadbiran ekonomi mereka mencapai sasaran defisit empat peratus ditetapkan, menurut sumber Sinar Harian.
Menurutnya, pendedahan itu dibuat berdasarkan laporan terkini Bank Dunia iaitu ‘Malaysia Economic Monitor: December 2013’ seperti tertera pada halaman 10.
Katanya, beliau mengesyaki rancangan menjual aset negara itu berlaku kerana ia bertujuan mencapai sasaran defisit empat peratus bagi 2013 yang sebenarnya telah gagal. Ia bermakna, harta-harta negara telah pun dijual dan digadai supaya hasilnya diperoleh dalam tahun 2013 untuk menutup jurang pendapatan dan perbelanjaan negara.