MCA dibidas tuduh Najib amalkan dasar perkauman


Syed Ali Alhabshi

(Malaysian Times) – Umno menyelar sikap perwakilan MCA yang menuduh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengamalkan dasar berasaskan kaum.

Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, dalam blog rasminya berkata, tuduhan tersebut tidak berasas kerana UMNO mengamalkan dasar terbuka dengan mengutamakan kepentingan kaum seperitmana termeterai  dalam permuafakatan Barsian Nasional (BN).

“Memang, mana-mana parti pun termasuk UMNO dan MCA serta MIC berasaskan kaum, tetapi bukan bermakna kita (UMNO) selaku tunjang BN menafikan hak mereka,” tegas Syed Ali lagi.

Beliau menjelaskan, walaupun UMNO tegas memperjuangkan kepentingan orang Melayu dan umat Islam tetapi tidak bermakna menafikan hak kaum lain seperti China dan India.

“Mengapa perkara itu diungkit oleh MCA, apakah selama ini kaum China ditindas oleh UMNO?” soal beliau dalam blognya.

“Mengapa MCA menjadikan Najib sebagai sasaran serangan mereka, apakah selama ini Najib tidak berlaku adil kepada bukan Melayu sehingga membuat perbandingan dengan Nelson Mandela.

WAKIL MCA KEDAH ‘MELAMPAU BATAS’

Katanya, tindakan wakil MCA Kedah, Lee Yean Wang yang mahukan Najib mencontohi pejuang anti-apartheid,  Nelson Mandela dengan menghentikan dasar berasaskan kaum seolah-olah selama ini kaum China di negara ini dinafikan hak mereka.

Sambil menyifatkan Yean Wang sudah ‘melampau batas’, Syed Ali menegaskan UMNO sama sekali tidak akan mengorbankan prinsip perjuangannya hanya semata-mata untuk memuaskan nafsu segelintir pihak.

“Jangan cuba nak jadi jaguh, selama ini UMNO telah banyak bertolak ansur dengan mereka, malah kadangkala UMNO terpaksa mengetepikan suara Melayu demi menghormati dasar toleransi yang diamalkan selama ini,” tegasnya.

Tambah beliau, membuat perbandingan antara Najib dan Nelson Mandela adalah kurang tepat kerana budaya politiknya jauh berbeza.

“Ukuran yang dibuat oleh wakil MCA itu sangat melampau, memberikan satu penghinaan yang amat ketara terhadap UMNO dan Najib selaku presiden parti,” tegasnya.

Pada sesi perbahasan di Perhimpunan Agung MCA semalam, Yean Wang dipetik sebagai berkata beliau berharap  satu hari nanti Najib akan menghentikan dasar berasaskan kaum ini dan menjadi seperti Mandela.

Wakil MCA Kedah itu juga berkata dasar afirmatif bawah Dasar Ekonomi Baru (DEB) boleh dijustifikasi apabila ia diperkenalkan pada 1970 kerana kadar kemiskinan di kalangan bumiputera pada masa itu melebihi 60 peratus, bukan seperti masa kini.

“Hari ini kadar kemiskinan di kalangan bumiputera bawah 5 peratus. Adakah kita perlu mempertahankan 95 peratus yang lain dengan dasar yang tidak adil ini disebabkan yang 5 peratus itu? Saya rasa tidak perlu.

“Kita baru saja memperingati Mandela. Perjuangan menentang diskriminasi kaum ini tidak harus berhenti dengan kematiannya, jadi saya seru pemimpin kita (MCA) untuk menyampaikan perkara ini kepada Perdana Menteri,” kata beliau.

MCA POLITIKKAN DEB

Mengulas lanjut, Syed Ali kesal kerana MCA masih lagi mempolitikkan pelaksanaan DEB bagi membangkitkian rasa kurang senang masyarakat China terhadap kaum bumiputera.

“Mengapa isu DEB dibangkitkan semula, sedangkan orang China juga turut mendapat manfaat daripada dasar tersebut yang menjuruskan kepada usaha memperkasakan pembabitan orang Melayu dala sektor ekonomi,” tegasnya.

Beliau melihat saranan yang dikemukakan oleh wakil MCA itu sebagai ‘kuman’ yang boleh merosakklan nilai perpaduan antara kaum di negara ini.

“Saya hairan, setelah beberapa dekad DEB dilaksanakan, kuman seperti itu masih lagi membiak dalam MCA, ini perasit yang memberhaya kepada masa depan negara,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan MCA supaya lebih berhati-hati mengeluarkan kenyataan atau saranan bagi mengelak tercetusnya rasa kurang senang kepada kaum yang lain.

Katanya, kenyataan terbuka wakil MCA itu juga seperti mencela kepimpinan Najib yang juga Pengerusi BN Pusat.

Beliau turut mempersoalkan apakah selama ini MCA dianak tirikan dalam arus pembangunan politik dan ekonomi negara.

“Pada hemat saya orang China lebih kedepan berbanding orang Melayu dalam penguasaan sektor ekonomi dan perniagaan, jadi apa lagi yang mereka mahu?” soal beliau.

 



Comments
Loading...