Selagi ROS belum iktiraf pemilihan, jawatan pemimpin DAP tak sah


Zulkifli-Mohd-Noor

(Bernama) – Bekas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan Zulkifli Mohd Noor hari ini menggesa semua pihak supaya tidak mengiktiraf jawatan pemimpin DAP sehingga Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengesahkan pemilihan jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu.

Beliau berkata sehingga kini DAP sebenarnya tidak mempunyai pemimpin yang sah di semua peringkat malah arahan dan keputusan yang dibuat oleh mereka juga dianggap tidak sah.

“Mereka ini dalam CEC hari ini tidak ada jawatan, jawatan yang diadakan adalah jawatan yang tidak sah. Hanya satu kumpulan yang melantik sesama sendiri. Jadi, saya harap semua yang berkenaan atau media jangan dok kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Pengerusi DAP Karpal Singh.

“…Ini kerana jawatan itu tidak sah. Anda nak sebut mereka sebagai bekas…betul, tetapi sebagai pengerusi, sebagai setiausaha agung…tidak, mereka bukan lagi…patut betulkan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Ketua Wanita Umno Pulau Pinang Norliza Abdul Rahim yang mahu Jawatankuasa Disiplin DAP mengambil tindakan terhadap Lim kerana melabel ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Datuk Jahara Hamid sebagai ‘nenek rasis’.

Lim menggelarkan Jahara sebagai ‘nenek rasis’ apabila beliau dikatakan cuba membangkitkan isu perkauman selepas mendakwa kerajaan DAP Pulau Pinang hanya mengambil tindakan terhadap peniaga Melayu.

Zulkifli berkata desakan Norliza itu adalah tidak tepat dari segi teknikal kerana Jawatankuasa Disiplin DAP tidak mempunyai kuasa selagi ROS belum mengiktiraf barisan CEC yang baru dilantik pada pemilihan semula 29 Sept lepas.

“Pada kesimpulannya semua keputusan dan arahan yang dibuat selepas 15 Dis 2012 adalah dianggap tidak sah selagi tidak mendapat pengiktirafan dari pihak ROS. Saya mohon semua pihak apabila membuat rujukan terhadap jawatan biarlah yang rasmi dan betul serta tidak mengelirukan rakyat,” tambahnya.

 



Comments
Loading...