NGO lapor polis Himpunan 31 Dis, koyak gambar Rafizi,CheguBard
(FMT) – Lima badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Pemuda Umno hari ini membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli dan Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin yang didakwa sebagai dalang menghasut rakyat turun menyertai Himpunan 31 Disember.
Suara Anak Muda 1Malaysia (SAM1M), Persatuan Veteran Tentera Melayu (PVTM), Pertubuhan Memartabat Jaringan Melayu Malaysia (MJMM), Pemuda Umno Petaling Jaya Utara, serta Bridget Kesatria Mahasiswa masing-masing mengemukakan laporan polis di Balai Polis Damansara di sini petang tadi.
Turut diserahkan beberapa bukti bergambar dan salinan video rakaman ucapan Rafizi dan Badrul, atau dikenali CheguBard.
Sejurus selepas selesai membuat laporan, kumpulan itu menayangkan gambar Rafizi secara terbalik dan bertindak mengoyak serta memijaknya di perkarangan balai polis.
SAM1M dalam laporannya mahu polis menyiasat Rafizi kerana mengeluarkan kenyataan menyokong perhimpunan menggulingkan kerajaan dan mengelirukan rakyat.
Begitu juga dengan CheguBard dan Ketua Propagandanya Edy Noor Reduan secara terbuka menghasut rakyat bersatu dan berhimpun di Dataran Merdeka pada malam tersebut.
“Kami membuat laporan ini kerana sangsi berdasarkan beberapa bukti kukuh bahawa perhimpunan ini adalah haram disisi undang-undang.
“Mereka juga tidak mendapatkan permit daripada polis mahupun pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam laporan.