Demonstrasi – Cermin Kepincangan Pemerintahan


turun1

Secebis Kewarasan

Ketika artikel ini ditulis, negara diambang satu lagi demonstrasi di ibukota, iaitu perhimpunan TURUN. Perhimpunan yang akan diadakan pada 31 Disember 2013 ini bertujuan mendesak kerajaan agar bertindak terhadap kenaikan kos sara hidup.

Rakyat yang sudah sememangnya susah dengan kenaikkan harga barangan dan petrol, dibebankan lagi dengan kenaikan tarif elektrik dan ura-ura kenaikkan kadar tol lebuhraya yang tidak masuk akal. Negara sudah membina banyak empangan mega untuk menjana elektrik. Empangan-empangan berbilion ringgit yang serba moden itu sepatutnya efisien dari segi kos. Lojiknya, tarif elektrik semakin menurun. Perjanjian dengan IPP (Independent Power Producers) yang merugikan kerajaan dan juga pengguna sepatutnya ditamatkan sahaja. Kadar tol lebuhraya pun begitu. Sewajarnya ia dikurangkan atau ditamatkan. Lebuhraya seperti Lebuhraya Utara-Selatan yang sudah berpuluh tahun beroperasi – pastinya sudah selesai kos pembinaannya. Tol, jika ingin dikenakan, memadai pada kadar minima bagi kos pengendalian. Justeru, keputusan menaikkan tarif elektrik dan tol lebuhraya adalah tidak masuk akal.

Rakyat di negeri-negeri pantai timur pula ditimpa bencana banjir – bagaikan jatuh ditimpa tangga. Majoriti kawasan yang terkena banjir adalah kawasan orang-orang susah. Sudahlah asalnya susah, disusahkan lagi dengan kegawatan ekonomi dan kini, harta benda musnah dek banjir. Janji-janji pampasan kerajaan (RM500) masih belum terlaksana. Jika pun dibayar sebanyak itu, jumlahnya amat sedikit untuk membina kembali kehidupan yang baik.

Dalam kesempitan hidup, rakyat dihidangkan dengan berita dan foto PM (Perdana Menteri) dan isteri berkunjung ke luar negara dengan penuh gaya. Makan-makan, main golf, bersosial – wajah penuh ceria. Rakyat yang sedang gundah-gelana jelek dengan gelagat mereka. Kemarahan rakyat membuak-buak apabila diberitakan bahawa anak kepada isteri PM membeli sebuah apartment di New York bernilai RM110 Juta. Dikala mangsa banjir berebut-rebut untuk se-paket biskut, mereka boleh membazir untuk bergaya.

Olahan persepsi yang tempang

Rakyat kesusahan. Itu hakikat. Tetapi, apa yang cuba digambarkan media adalah semuanya okay. PM kata okay, menteri kata okay, professor kata okay, pakar ekonomi kata okay dan temuramah orang ramai di television pun kata okay. Kata mereka ‘negara ini aman, politik kita stabil, ekonomi kita berkembang baik, pendidikan kita bertaraf antarabangsa dan rakyat dijamin selamat’.

Strategi mengulang-ulang pembohongan melalui media bagi mengolah persepsi sebegini sudah basi. Ia tidak berhasil lebih-lebih lagi apabila hakikat sebenar disokong oleh perut-perut yang lapar. Biar siapa pun yang kata okay; PM, menteri, professor mahupun pakar ekonomi, kata mereka tidak akan bermakna kepada rakyat yang kesempitan asas kehidupan. Malah, cubaan mengolah persepsi tersebut memakan diri. Kini, apa sahaja kenyataan kerajaan, biar betul sekalipun, akan dipandang curiga oleh rakyat.

Pendekatan yang lebih produktif adalah belaku telus kepada rakyat. Kerajaan sepatutnya mengaku yang negara di dalam kegawatan ekonomi. Pengakuan itu perlu diikuti dengan langkah-langkah kreatif dan proaktif (contoh: berjimat) dalam menangani kegawatan ekonomi. Penulis berasa bahawa rakyat akan bersama kerajaan jika ia bersikap telus. Ini tidak. Bukan sahaja kos sara hidup naik secara melulu, ia diikuti dengan keangkuhan dan sikap tidak sensitif pemimpin-pemimpin.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...