Umno, NGO mula berdemo protes Paderi Lawrence, gereja


Allah-Decision

Jamilah Kamarudin, FMT

Umno Selangor akan memulakan beberapa siri demonstrasi membantah kenyataan Paderi Lawrence Andrew mengenai pendiriannya menggunakan kalimah ‘Allah’.

Demonstrasi pertama akan dilakukan Umno Bahagian Kuala Langat dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) hari ini selepas sembahyang Jumaat.

Menjangkakan kehadiran seramai 300 orang peserta, mereka akn mula berkumpul di medan letak kereta Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dan berarak ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk membuat laporan polis.

Kemudian, bacaan tahlil dan berdoa dihadapan IPD Kuala Langat sebelum ucapan ringkas beberapa tokoh pemimpin.

NGO terbabit termasuklah Majlis Belia Daerah, Kelab Persatuan Anak Muda Malaysia (MAYC), Pekida, Jawatankuasa Kebajikan Kampung (JKKP) sekitar Kuala Langat, Perkasa, Belia 4B, termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Kuala Langat.

“Kami jamin perhimpunan ini aman kerana bukan Umno yang mula timbulkan provokasi sedangkan mahkamah dan undang-undang sudah menetapkan larangannya.

“Isu ini bukan perjuangan Umno semata-mata tapi untuk seluruh umat Islam seperti yang kami perjuangkan semasa isu kalimah ‘Allah’ sebelum ini,” kata Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Langat Jefrizal Jaafar ketika dihubungi.

Sementara itu, Umno Bahagian Kapar bersama NGO Solidariti Muslim Daerah Klang merancang untuk mengadakan protes dihadapan Gereja Lady Lourdes pada pagi Ahad ini selain menghantar memorandum menyatakan rasa tidak puas hati kepada pihak gereja.

NGO lain yang turut serta adalah Jalur Tiga Malaysia (Jati), Perkasa Selangor, Klang Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), dan Pertubuhan Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS).

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...