Apabila Golongan Moderat Tidak Mahu Mengalah


A. Faizal Rahman

A. Faizal Rahman

Pengaruh sesebuah pergerakkan atau organisasi ditentukan oleh falsafah perjuangan mereka. Apabila prinsip perjuangan bersifat moderat (sederhana), sejagat dan inklusif, ia menarik perhatian dan penyertaan masyarakat umum. Dari situ, sokongan dan pengaruh pergerakkan atau organisasi tersebut berkembang. Pengaruh mereka bertambah kuat dan kukuh selagi mana prinsip perjuangan mereka adil dan konsisten.

Namun, apabila pengaruh sesebuah pergerakkan atau organisasi itu berada di puncak kegemilangan, dan berlanjutan untuk tempoh yang lama, ia menjadi angkuh. Keangkuhan itu menjadikan mereka bersikap eksklusif, dan ekstrem apabila dikritik. Dari situ, daya tarikan yang dimiliki mula merosot. Pengaruh dan kuasa menyusut, dan akhirnya hilang. Ini adalah resam atau natural course sesebuah pemerintahan yang disimpulkan para pengkaji sejarah kemanusiaan dan ketamadunan.

Evolusi negara kita tidak terlepas dari resam ini. Sejarah negara menyaksikan pelbagai kerajaan Melayu, datang dan pergi. Para penjajah yang kuat pun, datang dan pergi. Pemerintahan demokrasi pasca merdeka turut memperlihatkan pengembangan dan pengukuhan pengaruh Barisan Nasional yang kini merudum sebelum pupus. Kepercayaan rakyat mula beralih ke Pakatan Rakyat yang lebih moderat dan inklusif. Suatu hari nanti, Pakatan Rakyat akan mengharungi jalan yang sama. Kuat, angkuh, menyusut, dan akhirnya pupus.

Isu kalimah Allah yang tidak berkesudahan

Pada minggu lepas, isu kalimah Allah yang disangkakan selesai, muncul semula. Episod kali ini bermula dengan JAIS menyerbu Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan merampas Injil berbahasa Melayu. Susulan dari rampasan tersebut, puak pro-penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristien – menjadi marah. Pemimpin-peminpin dari golongan itu membuat kenyataan-kenyataan tegas. Ketegasan itu cuba dijuarai oleh tiga ADUN DAP yang (mulanya) merancang untuk meminda enakmen negeri Selangor yang berkaitan.

Sebagai tindakan balas, puak anti-penggunaan kalimah Allah membidas pendirian seterunya dengan kenyataan-kenyataan yang juga tegas. Bertalu-talu sidang media pemimpin-pemimpin UMNO, dan NGO-NGO yang mengaku mempertahan Islam disiarkan. Hinggakan, mereka yang memaki perhimpunan TURUN, pun turun ke jalanan untuk berdemonstrasi!

Nampaknya, isu kalimah Allah akan terus berlanjutan selagi kedua-dua pihak, pro dan anti penggunaan kalimah Allah itu masih berdegil dan tidak mahu beralah.

Bagi penulis, para alim Islam sepatutnya menerangkan mengapa kalimah Allah tidak wajar digunakan dalam penerbitan Kristien dengan jelas. Rundinglah bersama pemimpin Kristien dengan baik-baik dan lunak. Penulis percaya orang Kristien adalah golongan yang waras. Mereka pasti akan faham dan berbesar hati untuk menggunakan kalimah lain, selain Allah – memandangkan banyak terjemahan lain yang boleh digunakan untuk menakrif ‘Tuhan’, selain dari bahasa Arab (Allah) untuk Injil bahasa Melayu mereka.

Ini tidak. Pemimpin-pemimpin UMNO dan NGO  seperti Perkasa yang kononnya ‘mempertahankan’ Islam mengambil pendekatan yang salah, sejak awal lagi. Pangkalnya, mereka bukanlah orang yang sepatutnya mewakili Islam. Bukan sahaja tidak bertauliah (agama), mereka ini adalah jenis politikus bercakap besar. Seterusnya, mereka melihat isu ini dari sudut pandang yang sempit, dengan ‘mentaliti dikepung’ (seige mentality). Sebab itulah reaksinya seolah-olah mereka sendiri yang sedang diserang. Mereka jadi gelabah, emosional dan agresif.

Penulis percaya, tindakan kebudak-budakkan, emosional dan agresif tersebut bukan disebabkan kebodohan semata-mata. Mereka ada agenda tersendiri. Ada yang mengejar populariti, dan ada yang sengaja mewujudkan ketegangan antara kaum dan agama, bagi meraih kembali sokongan yang merosot dan menutup kelemahan pentadbiran kerajaan, terutamanya dari UMNO dan Barisan Nasional. Lagipun, mereka di babak akhir penguasaan. Telatah agresif dan ekstrem sebegitu adalah reaksi normal golongan yang pengaruhnya teruk menyusut dan hampir pupus.

Penulis kesal dengan segelintir pemimpin Pakatan Rakyat, terutamanya dari DAP yang ingin menjuarai isu ini bagi pihak pro-penggunaan kalimah Allah oleh orang Kristien. Mereka terikut-ikut dengan rentak pemimpin-pemimpin UMNO dan NGO seperti Perkasa. Kebudak-budakkan, emosional dan agresif. Penulis bersetuju dengan Ketua Pembangkang yang membidas tindakan gopoh segelintir pemimpin DAP yang (mulanya) berhajat untuk meminda undang-undang negeri Selangor yang berkaitan.

Rasa kesal penulis khususnya terhadap sikap keras kepala, dan tidak mahu berkompromi pemimpin Pakatan Rakyat tersebut. Ia bertentangan dengan tanggapan masyarakat bahawa Pakatan Rakyat membawa wadah moderat dan inklusif. Adakah Pakatan Rakyat sudah mencapai puncak kegemilangannya hingga boleh bersikap angkuh dan sombong? Jika ya – ia amatlah sedih kerana jalan seterusnya adalah curam kemerosotan yang berakhir dengan kepupusan.

Sewajarnya, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mengambil ‘high moral ground’ dan beralah. Tinggalkan sentimen perkauman dan agama. Sebaliknya, fokus kepada isu-isu kelansungan hidup rakyat. Biarkan sahaja pekikkan dan lolongan pemimpin-pemimpin UMNO dan NGO seperti Perkasa.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...