Malaysia mundur kerana Melayu?
Majoriti orang Melayu selesa dengan sektor tradisional menjadi petani dan nelayan.
Musli Oil, FMT
Dalam buku “The Malay Dilemma”, Tun Dr Mahathir Mohamad menulis, jika kaum Cina dibiarkan bersendirian berniaga dan mengurus ekonomi negara mereka akan menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
Tetapi apakah Melayu hanya jadi pemerhati, kekal miskin tetapi berbangga kerana negara maju di bawah orang-orang Cina?
Atau Melayu meminta sebahagian daripada saham kekayaan negara walaupun akan melambatkan kemajuan negara? Inilah dilema Melayu.
Imbas kembali, British perlu pekerja untuk membangunkan ekonomi dan perniagaanya di Malaya. British tidak mahu menganggu budaya dan agama orang Melayu kerana adalah dasar British, lalu membawa macsuk orang-orang Cina untuk bekerja dilombong bijeh, pekerja dan berniaga. Kaum India juga dibawa masuk sebagai pekerja ladang dan buruh kasar.
Jika tidak berlaku krisis ekonomi dunia pada tahun 1930an, yang menjadi punca British menghentikan pengambilan pekerja imigran, besar kemungkinan jumlah Cina dan India mengatasi jumlah orang Melayu hari ini
Sedikit jumlah orang Melayu bekerja dengan British, terdiri dari kalangan anak-anak raja dan golongan bangsawan Melayu sebagai pembantu kepada pegawai-pegawai British atau sebagai kerani di pejabat.
Majoriti orang Melayu selesa dengan sektor tradisional menjadi petani dan nelayan.
Setelah Malaya merdeka dan bangsa Melayu mengambil alih tugas British sebagai pentadbir, bidang ekonomi dan perniagaan seperti perusahaan makanan, pembinaan, perlombongan, getah, pemborong dan peruncit telah dan terus dikuasai orang-orang Cina yang kebanyakannya menetap di kawasan bandar, pekan dan pelabuhan.
Di mana silap?
Penganalisis ekonomi berpendapat, dengan jumlah orang Cina yang telah menceburi bidang perniagaan dengan faktor kerajinan dan kegigihan mereka di samping kekayaan sumber asli negara sepatutnya telah menjadi negara termaju dan terkaya di Asia Timur.
Tetapi ia tidak berlaku. Di mana silapnya?
Ramai cendekiawan dan usahawan Cina percaya jika Dasar Ekonomi Baru (DEB) tidak perkenalkan pada tahun 1972, Malaysia telah maju setanding dengan Singapura dan Korea Selatan. Setidak-tidaknya status ekonomi negara lebih baik daripada Taiwan, sebuah negara berteknologi tinggi yang sedang meningkat.
Korea Selatan adalah antara negara termiskin di dunia selepas perang dengan Jepun. Ekonominya bergantung pada pertanian semata-mata.
Korea Selatan kerap diancam serangan dari Korea Utara. Taiwan cuma sebuah pulau yang dituntut negara China.
Seperti Korea Selatan, selain tiada sumber alam, Taiwan kerap diancam serangan negara Komunis China yang sehingga hari ini tidak mengiktiraf kewujudannya.
Pada tahun 70an, Singapura, Korea Selatan dan Taiwan lebih miskin dari Malaysia, kerana negara-negara itu tiada sumber asli untuk di ekspot.
Tetapi pada hari ini pendapatan perkapita Korea Selatan empat kali ganda lebih tinggi dari pendapatan perkapita rakyat Malaysia. Manakala pendapatan rakyat Singapura adalah yang kelima tertinggi di dunia. Di mana silapnya?