Kami mahu damai
Meor Yusof Aziddin
Keluarga saya adalah penyokong kuat parti kerajaan terutamanya emak saya, juga emak mertua saya. Sehingga segala apa yang dihidangkan oleh pembangkang itu tidaklah ada yang manis melainkan yang pahit-pahit belaka adanya.
Saya faham situasi emak saya itu, kebanyakannya sama dengan orang-orang tua kita dulu. Mereka setia kepada yang satu. Kesetiaan mereka seperti Laksamana Hang Tuah yang setia kepada rajanya tanpa berbelah bagi.
Tapi percayalah, emak saya orang yang baik hatinya, begitu juga dengan emak mertua saya. Kebanyakan orang-orang tua kita dulupun saya percaya punya sikap seperti emak saya.
Saya dibesarkan di pekan Bruas, sebuah penempatan kecil yang punya simpang jalan ke Lumut, Ipoh dan Taiping. Di tempat tinggal saya itu masyarakat berbagai kaum tinggal bersama dalam suasana yang aman dan damai. Itulah yang kita perlukan dalam hidup ini, aman dan damai.
Kehidupan dan taraf pendapatan penduduk terutamanya golongan Melayu, Cina mahupun India adalah di tahap sederhana. Rumah banglo adalah satu dua yang terdapat di pekan kecil tersebut. Tapi kami boleh mencapai erti keamanan dalam istilah mensyukuri nikmat yang Tuhan beri ‘seadanya’.
Sebab utamanya adalah kerana sikap saling hormat menghormati antara satu sama lain.
Jika tiba perayaan Thaipusam atau Deepavali, semua bangsa turut sama memeriahkan upacara yang dijalankan. Begitu juga apabila tiba musim perayaan raya Cina, kita saling kunjung mengunjungi, apatah lagi jika kita menyambut hari raya.
Keluarga saya biasanya mengambil barang-barang keperluan dapur di sebuah kedai runcit milik peniaga berbangsa Cina, namanya Sum Yew. Ini cerita tahun 70an dulu. Bapa saya waktu itu seorang pesara polis. Jadi biasanya barang-barang diambil secara hutang, maknanya cukup bulan baru bayar.
Perhubungan antara bapa saya dan towkay kedai runcit itu memang baik. Emak saya pun sering memuji towkay tersebut walau di pekan tersebut, banyak lagi kedai runcit milik peniaga berbangsa Melayu juga mamak.
Tahun 1974 dulu, saya pernah menonton ceramah politik yang dianjurkan parti BN (Barisan Nasional) di kampung saya. Perdana menteri yang ke dua waktu itu, Tun Abdul Razak turut hadir memberikan ucapan.
Ramai yang hadir malam itu. Saya tidak faham apa itu politik waktu itu, pun hadir juga kerana mengikut emak saya yang memang penyokong kuat parti kerajaan dari dulu sampailah ke hari ini. Emak saya adalah contoh terbaik jika kita mahu bercerita tentang makna ‘kesetiaan’.
Katalah apa saja tentang Umno dan Barisan Nasional, dia tidak pernah goyah dan goncang pendirian. Apabila emak saya marahkan parti pembangkang di hadapan saya berpandukan teorinya, ia buatkan saya ketawa lucu walaupun saya tahu dia tidak maksudkan. Tapi itulah emak saya, dan saya percaya kebanyakan ibu-bapa kita juga sama pendirian mereka dengan emak saya itu.
Yang emak saya tak suka adalah pembangkang, bukan orang Cina, India ataupun lain-lain bangsa sekalipun. Ini kerana tahap kesetiaannya kepada pimpinan kerajaan zaman kemerdekaan lagi.
Saya tidak pernah menganggap politik itu suatu yang serius kerana namanya pun ‘politik’. Ia bagi saya hanya sebuah pentas bagi mereka yang berkepentingan dan kita semua adalah sebahagian dari alat untuk mereka melengkapkan misi dan agenda mereka saja.
Mungkin kita hanya askar sahaja seperti dalam permainan catur dan mereka adalah King atau Queen. Pun askar penting juga kerana tanpa kita, siapalah mereka. Jadi walaupun politik itu bukan suatu yang serius, mahu tidak mahu kita juga adalah pelengkap kepada cerita kejayaan dan kegagalan mereka.
Saya hadir menonton ceramah kerana waktu itu demam pilihanraya sedang melanda. Pilihan raya berlangsung pada Ogos 1974. Tun Abdul Razak (menjadi PM pada 1970-1976) menjadi Perdana Menteri yang ke dua selepas Tuanku Abdul Rahman (1957-1970).
Waktu itu apabila tiba musim pilihanraya, suasana dan sambutannya sangat meriah, umpama menjelang perayaan dan sambutan. Bendera dan sepanduk parti dipasang merata-rata, di seluruh pelusuk kampung juga bandar.
Muka wakil-wakil rakyat yang sebelumnya tenggelam timbul akan muncul semula untuk satu tempoh dan mereka memang merakyat waktu itu bersempena pilihanraya. Selepas habis, batang hidung lenyap entah ke mana…
Pernah satu ketika seorang wakil rakyat dari sebuah parti datang menziarah satu majlis perkahwinan jiran sekampung saya. Kita boleh lihat betapa terharunya jiran saya itu sehingga menangis kegembiraan dek kehadiran wakil rakyat yang hadir mungkin atas dasar kepentingan kerana waktu itu adalah musim pilihanraya.
Berbalik pada cerita di kampung waktu dulu, kalau nak tempah baju atau seluar, kita akan ke kedai jahit milik peniaga Cina juga. Kalau nak beli surat khabar, itu kita beli di kedai mamak berhadapan dengan stesen bas Ipoh.
Jadi kesimpulannya masyarakat kita waktu itu memang saling perlu memerlukan, hormat menghormati di antara satu sama lain, apatah lagi bila ianya melibatkan hal-hal agama yang memang sensitif untuk dibangkitkan terutamanya di zaman ini.
Saya rindukan suasana itu, seperti saya sukakan sajak Usman Awang yang judulnya ‘Anak Jiran Tionghua’. Ceritanya sama seperti apa yang masyarakat kita lalui, dari segi praktikalnya.
Saya sedih dengan perkembangan yang berlaku hari ini, apabila mereka yang di atas suka berbalah antara sesama terutamanya apabila ada hal yang melibatkan politik dan agama. Mengapa kita suka rumitkan keadaan sehingga ianya menjadi berserabut dan kusut?