Faekah kena jaga mulut, kata Xavier
(KL Post) – Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) Faekah Husin diminta tidak mengeluarkan sebarang kenyataan politik untuk sebarang isu memandangkan beliau kini bukan lagi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar berkata Faekah kini hanya penjawat awam dan tidak berhak mencampuri urusan parti.
Justeru, Khalid perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai-pegawai kanannya yang dilihat ‘lebih kuah dari sudu’ dan menidakkan hak wakil rakyat untuk bersuara, kata Xavier.
“Saya memang kecewa. Faekah seorang penjawat awam, dia kena buat kerja dia sebagai penjawat awam. Dia tak boleh kritik seseorang yang dipilih sebagai YB, ahli Parlimen atau ADUN. Ini adalah masalah besar. Adakah ini kelulusan dari MB kepada pegawai-pegawai penjawat awam untuk menentang wakil rakyat secara terbuka?
“Beliau (Khalid) kena nasihatkan pegawainya. Jika ini berterusan, ia jadi bebas kepada sesiapa sahaja, seolah-olah tidak ada kuasa pada wakil rakyat untuk bertanya, beri cadangan atau kajian di dalam mana-mana isu negeri,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Antarapos, hari ini.Faekah sebelum ini dikritik secara terbuka oleh beberapa pimpinan PKR kerana menaikkan status politik di laman mikro Twitternya.
Beliau menyifatkan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebagai ‘hero ala badut’.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli kemudiannya menegur Faekah dengan berkata CEO MBI itu perlu berhenti mengeluarkan kenyataan persis racun itu.
Faekah sebelum itu membidas Xavier bersabit tindakan bekas Exco Selangor itu meminta Khalid membuat penjelasan berhubung keputusan ‘U-Turn’ kerajaan negeri bersabit isu penstrukturan industri air di Selangor.
Bekas peguam itu dilaporkan menuduh Xavier sebagai melulu dan menasihati Xavier untuk memahami pendirian kerajaan negeri sebelum membuat kenyataan.
ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad bingkas membidas Faekah dengan berkata bahasa yang digunakan tidak sesuai.
Faekah juga semasa menjadi setiausaha politik kepada Khalid, sering mendahului majikannya itu dalam mengeluarkan kenyataan bersabit apa-apa isu.
“Dia bukan dipilih oleh sesiapa. Dia dilantik oleh MB. Jadi dia kena jaga mulut dia, jangan jadi sangat… Iyalah, saya tahu banyak di laman sosial seperti Facebook dan Twitter bercakap tentang isu ini. Saya dengar ada kumpulan akan hantar memo kepada MB atas isu Faekah.
“Saya harap dan minta sangat kepada MB untuk baca memo yang akan dihantar. Ini adalah untuk masa depan rakyat negeri ini,” katanya lagi.
Sebelum ini juga Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin pernah mendakwa Faekah sebagai celupar dan tidak mengenang jasa parti berikutan mempersoalkan kewibawaan Azmin sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR.
Xavier dalam pada itu tidak menolak kemungkinan Khalid ‘dikawal’ oleh pegawai-pegawai kanannya dalam membuat keputusan sehingga membelakangkan kepentingan parti.
“Nampak kebelakangan ini seperti itu. Ada orang buat kenyataan di atas nama MB, tapi adakah itu pendirian MB atau kenyataan itu hanya keluar dari pegawainya sendiri?
“Saya ingat jika anda nak buat kenyataan, mesti keluar dari pejabat MB beserta nasihat dan kelulusan MB. Tak boleh pegawai-pegawai awam membuat kenyataan diri sendiri. Mereka tidak ada kuasa berbuat sedemikian,” jelasnya lagi, menurut sumber Antarapos.