Kini, pro-Umno Pulau Pinang kerumun pusat khidmat Adun PKR
Seorang lelaki diserang peserta protes di depan pejabat pusat khidmat Adun Machang Bubuk, di Alma, Pulau Pinang, pagi tadi.
Looi Sue-Chern, TMI
Satu lagi pusingan protest terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk, Lee Khai Loon diadakan di Alma, Pulau Pinang, di depan pusat khidmatnya, pagi ini.
Kejadian hari ini tidak sebersih protes semalam apabila seorang lelaki dikasari peserta protes itu.
Difahamkan lelaki terbabit berkata sesuatu yang menimbulkan kemarahan peserta protes ketika beliau berjalan ke arah motosikalnya di seberang Jalan Alma.
Dalam sekelip mata, beliau dikelilingi kira-kira 50 peserta. Kelihatan ada yang memegang, menolak dan memukulnya dengan helmet yang dipakainya.
Jeritan kata-kata kesat kedengaran dilemparkan kepada lelaki itu ketika kumpulan protes semakin marah.
Anggota polis yang bersedia berkawal memerhatikan protes itu dengan cepat masuk campur dan menarik keluar lelaki terbabit daripada khalayak yang sedang berkerumun itu.
Kumpulan yang marah itu tetap mengekori lelaki itu ketika beliau ditemani polis ke kereta peronda. Keadaan masih tegang walaupun selepas kereta peronda meninggalkan lokasi.
Beberapa peserta protes memaki hakum lelaki itu kerana dituduh berkata “Melayu bodoh”.
Ketika situasi kelihatan hampir hilang kawalan, khalayak it diarahkan bersurai dan pulang oleh beberapa pemimpin Melayu di tempat kejadian.
Terdahulu, protes itu diadakan di tempat yang sama di mana Lee menganjurkan flash mob kangkung Rabu lalu, dan pada hari ini, patung dengan gambar Lee yang bersaiz A4 dibakar, dipijak dan diludah.
Seorang lelaki kelihatan mendedahkan punggungnya ke arah gambar itu. Kumpulan protes membabitkan kira-kira 300 orang itu juga membakar beberapa kad manila dan sepanduk menghentam Lee dan partinya di depan pusat khidmat Adun PKR itu.
Beberapa sepanduk ditampal di tingkap lot kedai kosong di bawah pusatnya yang berada di tingkat satu.
Protes sejam itu bermula kira-kira jam 12.30 pagi dengan pemimpin daripada Umno Pulau Pinang, organisasi bukan kerajaan Kongres Melayu Pulau Pinang dan Pekida Pulau Pinang yang membuat ucapan berapi-api membela Najib, di mana analogi kangkungnya baru-baru ini menjadi tumpuan jenaka alam siber.
Lee sebelum ini mengetuai flash mob dan menyumbat kangkung ke dalam patung berupa Najib.