Dihalang masuk Jepun: Kenapa kerajaan perlu jawab?


img846.imageshack.us_img846_4811_anwarkhairy300x209

(Sinar Harian) – Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mempersoalkan tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan Malaysia supaya menjawab punca beliau (Anwar) tidak dibenarkan masuk ke Jepun.

Khairy menambah, tindakan tersebut tidak rasional kerana bukan kerajaan Malaysia yang menentukan dasar  Imigresen Jepun.

“Kenapa Anwar Ibrahim minta kerajaan Malaysia jawab sebab dia tidak dibenarkan masuk Jepun? Bukan kerajaan Malaysia yang tentukan dasar  Imigresen Jepun la,” tulisnya di laman mikro Twitternya.

Ahad lalu, media melaporkan, Anwar dilarang memasuki Jepun sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.45 pagi dan diminta menaiki pesawat pertama yang berlepas pulang atau menghadapi tindakan pengusiran.

Berikutan itu, Anwar telah mengkritik layanan yang diberikan oleh pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo dan turut menggesa Kementerian Luar memberi penjelasan mengenai peranannya dalam perkara itu.

Respons terhadap gesaan itu, kerajaan Malaysia menerusi kenyataan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, menjelaskan bahawa kerajaan  tidak ada kena mengena dengan keputusan kerajaan Jepun menghalang pemimpin pembangkang Datuk Seri  Anwar Ibrahim memasuki negara itu.

Kata, Anifah setiap negara mempunyai hak kedaulatan untuk menghalang sesiapa sahaja yang mereka fikirkan tidak diingini daripada memasuki negara mereka atas apa jua sebab.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah portal berita tempatan hari ini melaporkan, kegagalan Anwar memenuhi syarat yang ditetapkan di bawah undang-undang Imigresen Jepun menjadi punca beliau tidak dibenarkan memasuki negara matahari terbit itu.

Laporan berita itu dipetik, ketika kejadian, perkara tersebut telah dijelaskan oleh seorang pegawai di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.

Menurut pegawai itu, pihak berkuasa Jepun mempunyai hak untuk menafikan kemasukan mana-mana individu yang gagal memenuhi syarat yang telah ditetapkan di bawah Perkara 7 Kawalan Imigresen dan Akta Pengiktirafan Pelarian.



Comments
Loading...