Ikutkan Anwar, semuanya salah kerajaan
Oleh Lisa Adam, FMT
Mengapa sebenarnya Anwar Ibrahim dilarang dari memasuki Jepun? Kebenarannya masih belum pasti tetapi Anwar tidak buang masa. Jari telunjuk dituding sepenuhnya ke Wisma Putra.
Ramai yang memang terkejut dengan tindakan Jepun melarang pemimpin pembangkang ini dari memasuki negara matahari terbit itu.
Rata-rata faham kekecewaan Anwar mengenai perkara tersebut namun tindakan Anwar menuduh Wisma Putra terlibat secara langsung agak keterlaluan.
Memanggil semua ini sebagai sandiwara Wisma Putra, Anwar sepatutnya melepaskan rasa marahnya pada Jepun dan bukan menuding jari pada pihak yang tidak sepatutnya.
Logiknya, Wisma Putra tidak mendapat apa-apa kebaikan atau imbuhan langsung dengan berbuat demikian terhadap Anwar dan langkah terbaik yang patut diambil Anwar dan barisan perundangannya sekarang adalah memanjangkan surat bantahan kepada Kedutaan Jepun di Malaysia bagi menuntut jawapan penuh.
Sesuatu yang perlu umum tahu juga kenyataan bahawa Jepun adalah sebuah negara yang punya pendekatan yang berbeza dengan negara Asia lain apabila menyentuh soal Islam dan Muslim keseluruhannya.
Di Jepun, Islam dilihat sebagai sesuatu yang asing dan dakwah secara terbuka adalah dilarang.
Mengambil kira pendirian Jepun mengenai Islam, mungkin tidak salah untuk mengandaikan bahawa apa yang berlaku pada Anwar berkaitan dengan tujuan Anwar ke sana.