Khalid VS Azmin: Makin kalut…mari kita tengok siapa yang kena


i967.photobucket.com_albums_ae159_Malaysia-Today_Azmin-Khalid_zpsf36e8b82

(Agenda Daily) – Perang dingin antara Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Azmin Ali sudah masuk babak lebih dramatik minggu ini. Dari senyap-senyap macam ‘ribut dalam cawan’ sekarang sudah riuh rendah. Rasa pedih hati Azmin dan penyokong-penyokongnya terhadap Khalid nampaknya tidak dapat dibendung lagi.

Manakala Khalid sendiri, macam selalu, menunjukkan kebolehan semulajadi beliau untuk bertahan ‘dibawah tekanan’. Siapa tahu beliau selamat dan boleh keluar sebagai pemenang.

Semakin ramai bingung dengan tindak-tanduk Menteri Besar Selangor itu dalam soal perlucutan Azmin sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang kini sudah jadi krisis tak boleh diselindung lagi.

Di kala Azmin mengumpul pasukan untuk serang Khalid, bekas ahli korporat yang terjun dalam politik tiba-tiba itu, ‘tunjuk kad ditangannya’… sebagai MB dan Pengerusi PKNS, beliau panggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Transparency International (TI-M) untuk sertai siasatan kes perlucutan jawatan Azmin.

SPRM adalah agensi penguatkuasa rasuah. Biasanya kalau masuk, dan ada bukti, akan terus hantar pada Jabatan Peguam Negara untuk proses pendakwaan, dan juga TM-I, badan pemantau rasuah yang disegani.

Apa yang tersirat adalah… di masa Azmin nak gempak Khalid, dengan tunjuk sokongan politiknya di Selangor (beliau adalah bos PKR negeri), Khalid pula tunjuk jurus beliau pada Azmin dengan panggil SPRM dan TM-I masuk.

Jadi sendiri mahu ingat, SPRM bila masuk, untuk tutup fail, kena lalui enam jabatan, baru selesai.

Ada pemerhati yang membaca langkah ini sebagai satu amaran tersirat Khalid pada Azmin… jangan main-main dengan aku.

Khalid panggil SPRM dan TM-I untuk periksa semua dokumen-dokumen yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan dokumen yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar PKNS yang kini digantung Othman Omar dalam masa terdekat.

Khalid memberitahu wartawan di Klang Selasa, beliau tidak keluarkan surat perlucutan jawatan Azmin di PKNS.

“Saya tak tandatangan surat tu. Keputusan (perlucutan) itu berasaskan surat Pengurus Besar jadi sebab itu kita gantung dia. Kita mahu cari kebenaran di sebalik surat itu,” katanya.

Menurutnya, isu utamanya tiada kaitan dengan Azmin sebaliknya ia membabitkan integiriti penjawat awam apabila berlakunya pertikaian kuasa Pengurus Besar tidak mengikut arahan kerajaan negeri.

Tegasnya, Pengurus Besar tidak ada hak menandatangani sebarang surat pelantikan dan perletakan jawatan melainkan Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri selaku Timbalan Pengarah PKNS.

Katanya, siasatan itu berkemungkinan akan selesai dan akan dibentangkan selewat-lewatnya selepas Tahun Baru Cina.

“Oleh kerana kes ini ada kaitan dengan politik oleh sebab itu saya meminta Setiausaha Kerajaan Negeri yang kendalikan kes ini supaya memberi keadilan kepada semua,” katanya.

Beliau turut bersedia untuk mendedahkan dokumen minit mesyuarat Exco kepada umum Rabu selepas meneliti ia tidak bercanggah dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Ditanya mengenai nasib Pengurus Besar PKNS Othman Omar dan Setiausahanya Norita Mohd Sidek, Khalid berkata jawatan mereka akan digantung sementara menunggu siasatan selesai.

Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi pada Selasa turut mengesahkan dakwaan kononnya status penamatan perkhidmatan Azmin dalam PKNS ditarik balik dan terbatal adalah palsu.

“Saya ingin menegaskan bahawa dakwaan Pengurus Besar PKNS dalam surat yang bertarikh 16 Januari 2014 itu adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu juga, kumpulan pro Timbalan Presiden PKR Azmin Ali akan menganjurkan demonstrasi untuk menunjukkan soladiriti dengan dua penjawat awam Selangor yang kini digantung tugas dan dipindahkan dari PKNS ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Ia dilihat macam serangan terbuka pada Khalid nak bermula.

Agendadaily menerima notis jemputan media, acara tersebut akan diadakan di Laman Seri Shah Alam pukul 10 pagi Rabu.

 



Comments
Loading...