PAS mahu tuntut kerusi MB jika Khalid turun
Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco negeri Iskandar Samad merupakan calon utama Menteri Besar
Jamillah Kamarudin, FMT
PAS Selangor akan mengemukakan senarai calon sendiri untuk jawatan Menteri Besar jika Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur dan mengosongkan kerusinya.
“Sekiranya berlaku kekosongan pada jawatan Menteri Besar, maka PAS Selangor akan mengambil bahagian dalam menentukan siapa calon yang akan di terima oleh rakyat,” kata Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman hari ini.
Khairuddin berkata, Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco negeri Iskandar Samad merupakan calon utama selain beberapa nama yang difikirkan layak dan sesuai.
Katanya, nama-nama tersebut akan dihantar kepada pemimpin PAS Pusat untuk pertimbangan.
“Mengapa kita hantar calon kita? Kerana kita juga memiliki kerusi terbanyak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN),” tegasnya.
Namun katanya, selagi isu jawatan Menteri Besar Selangor tidak dikaitkan maka PAS hanya menjadi pemerhati sahaja.
Mengulas kekosongan kerusi N25 Kajang, beliau menganggap ia sebagai isu dalam PKR dan menyeru ahli PAS negeri itu bertenang serta mengikuti perkembangan politik di Selangor secara berhati-hati
Katanya, apa saja keputusan PKR untuk mengosongkan kerusi Adun atau menentukan siapa calon adalah hak PKR untuk menentukannya dan PAS Selangor tidak akan terlibat campur.
“Oleh itu PAS Selangor meminta ahli PAS di semua peringkat untuk terus bertenang dan menunggu arahan terus dari PAS Selangor dari masa ke semasa.
“Apa pun keputusan kita dalam Pakatan Rakyat kita yakin ia mestilah membawa kepada kestabilan kerajaan negeri selangor yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat,” katanya.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Mei lalu, Pakatan Rakyat di Selangor berjaya membentuk kerajaan apabila menang 44 daripada 56 jumlah kerusi DUN Selangor
Daripada jumlah itu, PAS dan DAP masing-masing memperoleh 15 kerusi DUN manakala PKR 14 kerusi.