“Saya hanya lelaki kecik… Azmin…” kata Azmin


azmin-penjarajanji

Helme Hanafi dan Qurnisha Hamka, Agenda Daily

Malau kajang berlipat, kajang hamba mengkuang layu, dagang Pak Malau dagang bertempat, dagang hamba terbuang lalu.”

Hanya tuhan yang tahu apa yang berbuku di hati kecik Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali. Pagi Selasa di ibu pejabat PKR, Azmin yang juga bos PKR Selangor tidak kelihatan di dalam sidang media Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai calon PKR DUN Kajang.

Bagi wartawan politik, ketidakhadiran Azmin adalah perkara serius, ini kerana TIDAK pernah ada satu peristiwa besar menimpa Anwar, Azmin yang merupakan bekas setiausaha sulit Anwar dalam kerajaan dulu, tidak ada di sisinya.

PC Anwar dipecat, Azmin ada, PC Anwar dibebaskan dari penjara, Azmin ada, PC kes liwat kedua Anwar, Azmin ada, PC Anwar umum Wan Azizah letak jawatan dan dia akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh, Azmin ada, PC Anwar nafi isu Chinadoll, Azmin ada… pendek kata Azmin akan ada di barisan depan setiap peristiwa penting yang berlaku pada Anwar.

Itulah hakikat setianya Azmin, yang berkhidmat dan menyerahkan jiwa dan raganya demi Anwar serta ‘perjuangan’.

Tapi pagi ini, Azmin tidak ada dalam sidang akhbar di barisan depan, beliau ‘menyorok’ di belakang bilik sidang media tersebut, memerhati dari jauh.

Orang yang faham simpang siur politik PKR tahu, hatinya sedih, di satu sudut dia gembira saingannya, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan disingkirkan juga.

Di satu sudut lain, sekali lagi Azmin terpaksa berkorban demi bos…

Azmin yang ditemui media selepas selesai sidang media Anwar mula-mula tidak mahu komen.

Di sebalik pagar pejabat PKR, azmin dengan gaya sopannya, kata tiada komen. Dia dikejar lagi, tak mahu komen, kali ketiga,  selepas dipujuk-pujuk beliau bercakap juga.

Katanya, beliau akan bincang keputusan hari ini dengan PKR Selangor dan akan keluar kenyataan kemudian.

Ketika ditanya apakah beliau menyokong keputusan hari ini, ini jawapan Azmin “Saya hanya lelaki kecil, Azmin, saya kena pertahan keputusan yang diputuskan parti dan Pakatan Rakyat,”.

Mengulas mengenai isu Anwar nak ganti Khalid, Azmin kata jangan buat spekulasi.

Menurutnya, beliau akan bertemu dengan pimpinan PKR Selangor sebelum membuat kenyataan media.

“Ini sidang media Pakatan Rakyat dan Pengerusi Pakatan Rakyat Selangor ialah Tan Sri Khalid. “Ini bukan sidang media PKR…”katanya mengulas isu dia tak ada di depan Anwar.

Namun begitu, Agendadaily difahamkan, Azmin sendiri terperanjat dengan gerakan Gang of Four.

Difahamkam yang dimaksudkan dengan Gang of Four ini adalah Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, Naib Presiden Tian Chua, Pengarah Strategi Rafizi Ramli dan penggerak belakang tabir PKR, Dr Rahim Ghouse.

Kumpulan ini masuk campur selepas kumpulan Azmin dan Khalid bergaduh tak habis-habis di Selangor.

Gerakan mereka cepat dan berkesan dengan restu Anwar, dan itu yang menyebabkan kumpulan Azmin ‘terduduk’.

Apapun menurut sumber, Azmin kecewa dengan ‘pemusatan kuasa di Bukit Segambut’.

Maknanya semua hal dalam parti berbalik kepada Anwar dan keluarganya.

Namun beliau terpaksa akur dengan keputusan tersebut, kerana Khalid dapat ditukar. Prinsipnya pada Azmin dan kumpulan beliau, ‘Asal bukan Khalid’.

Manakala bagi Khalid dan Pakatan Rakyat Selangor ‘Asal bukan Azmin’.

Gang of Four ini telah masuk campur dan mencatur padang politik di Selangor. Azmin kecewa tapi macam dia kata, apa dia boleh buat “Saya hanya lelaki kecil”.

Kiranya pengorbanan beliau ‘terbuang layu’.

Azmin sejak puluhan tahun bersama Anwar… di penjara oleh janji-janji bosnya itu.

 



Comments
Loading...