Faekah bela Khalid, anggap pengejar jawatan bernafsu besar
“Ahli politik di luar Selangor, belajarlah Perlembagaan negeri, proses dan prosedurnya. Jangan menghina sultan dan jangan terlalu yakin dengan diri sendiri.”
(TMI) – Penyokong Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mula membela majikan mereka dengan membuat serangan balas dan menyifatkan pihak yang mengejar jawatan itu bernafsu besar.
Bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam Twitternya berkata, “Yang mengejar bernafsu besar, yang mengendong patutkah berjiwa besar?”
Kenyataan ini dikeluarkan selepas timbul ura-ura Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil alih jawatan MB Selangor daripada Abdul Khalid berikutan peletakan jawatan Adun Kajang, Lee Chin Cheh.
Khalid sendiri mengumumkan Anwar akan bertanding atas tiket PKR di pilihan raya kecil yang akan diadakan di situ.
Faekah yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Incorporated (MBI) itu juga meminta ahli politik dari luar Selangor agar belajar terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa tindakan dan kenyataan.
“Ahli politik di luar Selangor, belajarlah Perlembagaan negeri, proses dan prosedurnya. Jangan menghina sultan dan jangan terlalu yakin dengan diri sendiri,” katanya dalam akaun Twitternya semalam.