Paling tinggi Anwar hanya jadi exco, kata Khalid Samad


www.freemalaysiatoday.com_wp-content_uploads_2012_02_khalid-samad

(TMI) – Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Samad berkata kehadiran Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Selangor yang sering disebut bertujuan mengukuhkan barisan kepimpinan negeri hanya layak diberikan jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco).

Beliau berkata, kedudukan Anwar sebagai exco Selangor memadai atau setidak-tidaknya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan bukannya sebagai menteri besar.

“Saya difahamkan pilihan raya adalah untuk memperkukuh saf kepimpinan di Selangor dengan penglibatan Anwar paling kurang sebagai Adun. Paling maksimum pun sebagai exco.

“Persoalan untuk menjawat jawatan menteri besar, beliau (Anwar) tidak berhak menentukan seorang diri. Anwar perlu rujuk dan mendapat persetujuan daripada ketiga-tiga parti,” katanya seperti dilaporkan akhbar Sinar Harian.

Seorang peguam terkemuka, Tommy Thomas yang mempunyai 38 tahun pengalaman dalam bidang undang-undang berkata, tidak akan wujud krisis perlembagaan di Selangor jika Anwar mahu menjadi menteri besar seperti yang pernah digembar-gemburkan sebelum ini.

Katanya, sebagai pemerintah berpelembagaan, Sultan Selangor “tidak mempunyai tangan bebas” dalam memilih menteri besar, memetik Artikel 51 dan 53 perlembagaan negeri.

Artikel 51 (2) menyatakan bahawa calon “mesti berbangsa Melayu dan beragama Islam” sementara Artikel 53 (4) memperuntukkan bahawa Sultan Selangor boleh menggunakan budi bicaranya dengan peruntukan dalam perlembagaan seperti Artikel 51 (2) yang menyekat pilihannya.

Khalid berkata, selaku Adun atau pun exco, Anwar boleh mengadakan pertemuan dengan pegawai kerajaan negeri dan memberi penjelasan berkaitan sesuatu isu berbangkit sekiranya mempunyai jawatan dalam kerajaan Selangor.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...