Apakah laluan Anwar menjadi PM semakin sukar?
Pemuda PAS tidak sesekali menyokong jika Ketua Umum PKR itu berhasrat mahu menjadi Menteri Besar Selangor
Zefry Dahalan, FMT
Kenyataan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kaiat bahawa sayap PAS tersebut tidak sesekali akan menyokong jika Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat mahu menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; menimbulkan persoalan apakah laluan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri (jika Pakatan Rakyat menang pada Pilihan Raya Umum ke-14) semakin sukar?
Suhaizan berkata, pergerakan itu akan menyokong Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.
Bagaimanapun, tidak sesekali menyokong jika Ketua Umum PKR itu berhasrat mahu menjadi Menteri Besar Selangor menggantikan Khalid.
Walaupun kenyataan Suhaizan bukanlah mewakili suara PAS Pusat tetapi kenyataan tersebut sudah pasti memberi sedikit sebanyak kesan pada imej Anwar.
Persoalan logiknya ialah jika sebelum ini Anwar dianggap sebagai calon terbaik dari Pakatan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih pentadbiran Putrajaya pada PRU-14, kenapa ada bantahan untuk jawatan yang lebih kecil seperti jawatan Menteri Besar Selangor.
Apakah kenyataan Pemuda PAS ini sebenarnya didorong oleh perasaan terguris mereka apabila keputusan untuk mengosongkan kerusi DUN Kajang untuk membolehkan Anwar bertanding tidak dibincang dengan kepimpinan tertinggi PAS dan DAP?
Jika Anwar menjadi Menteri Besar Selangor pun Pemuda PAS membantah, bagaimana reaksi Pemuda PAS nanti jika Anwar berhasrat menjadi Perdana Menteri?
Atau apakah Pemuda PAS merasakan Anwar seharus memberikan lebih tumpuan kepada usaha untuk mengambil alih Putrajaya pada PRU-14 dan membenarkan Khalid mentadbir Selangor?
Tetapi harus disedari dalam apa jua keadaan, peranan suara DAP tidak boleh dinafikan dan ianya juga sama penting dalam sebarang keputusan penting nanti. Sama ada Anwar ingin menjadi Menteri Besar Selangor atau Perdana Menteri (jika Pakatan Rakyat ambil alih pentadbiran Putrajaya), DAP juga mempunyai hak untuk menentukan kedudukan Anwar.
Timbul juga persoalan dan menjadi tanda tanya di kalangan ahli dan penyokong Pakatan Rakyat sendiri, apakah Pemuda PAS menyedari Khalid sebenarnya mempunyai kelemahannya tersendiri.
Khalid mungkin pakar dan gah dari segi pentadbiran ekonomi tetapi lemah dari segi taktikal dan selok belok politik.
Kalau ahli biasa tahu yang Khalid gagal dalam menangkis serangan halus Umno menerusi pegawai tinggi kerajaan negeri yang gagal ikut aspirasi dan melaksana polisi kerajaan negeri dengan baik, mana mungkin pemimpin PAS seperti Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen dari Selangor tidak sedar kelemahan berpolitik Khalid?
Apakah kepimpinan PAS mahu melihat Selangor juga terlepas ke tangan Barisan Nasional seperti terlepasnya Kedah pada PRU-13 (2013) dan Terengganu pada PRU-11 (2004)?