Politik kedai kopi Teresa Kok
Apa yang Kok lakukan sebenarnya hanya mencemarkan kredibiliti pemimpin bukan Melayu di Pakatan Rakyat
Lisa Adam, FMT
Mana orang-orang Melayu di dalam Pakatan Rakyat, terutamanya PKR, yang kononnya anti perkauman apabila Teresa Kok memperlekeh dan mempersendakan orang Melayu dalam video ucapan tahun barunya?
Adakah orang-orang Melayu Pakatan Rakyat memang suka dipijak atau memang merelakan diri mereka diperbodoh-bodohkan oleh bukan Melayu seperti Teresa Kok?
Jika video seperti ini diterbitkan oleh Perkasa, pasti sudah berbondong-bondong penyokong Pakatan Rakyat tak kira Melayu atau bukan turun berdemonstrasi.
Tidak kurang juga yang melaungkan slogan anti perkauman dan melabel Perkasa dan juga Umno sebagai rasis.
Apa jua alasan Kok berbuat demikian sememangnya merendahkan martabat ahli parlimen di mata umum.
Sepatutnya Kok menunjukkan teladan yang baik kepada umum, lebih-lebih lagi sewaktu musim perayaan yang sepatutnya dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat. Ini sebaliknya.
Peluang yang ada bagi meredakan ketegangan yang sedia ada disalahgunakan oleh Kok untuk terus melakukan provokasi yang berbau perkauman.
Kok tidak sepatutnya mengambil pendekatan ‘politik kedai kopi’ bagi meraih publisiti murahan.
Apa lagi bila sesetengah isu yang dibangkitkan dalam video tersebut adalah isu sensitif yang bukan sahaja menyentuh kaum Melayu malah rakyat Malaysia keseluruhannya.
Walau Kok menafikan bahawa video tersebut ditujukan untuk orang Melayu namun umum boleh membaca sari kata yang disertakan bersama video tersebut.
Keengganan Kok memohon maaf secara umum juga memperlihatkan personaliti Kok yang tidak ambil pusing tentang sensitiviti masyarakat di Malaysia.