BN perlu uji strategi baru hadapi PRK Kajang
Datuk Nur Jazlan Mohamed
Atas kertas, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah boleh menjulang tangan tanda kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang (N25) pada 23 Mac nanti.
Kemenangan beliau seakan sudah dijangka memandangkan PKR adalah penyandang untuk kerusi ini, yang mempunyai hampir 40,000 pengundi dengan komposisi pengundi berdaftar sebanyak 48.5% Melayu, 40.28% Cina, 10.29% India, 0.19% Bumiputera Sarawak dan 0.03% Orang Asli.
Saya tidak berhasrat mengulas panjang sebab mengapa berlakunya PRK Kajang ini, PRK ketiga selepas Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13), walaupun dua PRK sebelum ini, iaitu di Kuala Besut dan Sungai Limau, bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) meninggal dunia tetapi di N25, bekas Adunnya ‘melarikan diri’.
Sebab Lee Chin Cheh ‘melarikan diri’ sebagai Adun Kajang juga, sudah diketahui rakyat Malaysia dengan barisaan kepemimpinan tertinggi PKR memberikan 1001 alasan untuk menjadikan Anwar sebagai Adun di Selangor walaupun beliau adalah orang Pulau Pinang dan berkhidmat sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh.
Namun untuk pembangkang ia bukan satu perkara yang memelikkan memandangkan ada pemimpin mereka yang menjadi Adun di negeri lain, serta Ahli Parlimen di negeri lain dan ia diterima masyarakat di kawasan mereka.
Sehari selepas Lee ‘melarikan diri’ pada 27 Januari lalu, PKR sudah memalu gendang perang PRK dengan pemimpin mereka berkampung di Kajang, memberikan penjelasan kepada penduduk Kajang, mengapa Anwar sangat diperlukan di Selangor dan seperti biasa sudah pasti Barisan Nasional (BN) terutama sekali Umno dituduh sebagai ‘musuh’ yang menyebabkan mengapa PRK Kajang perlu diadakan.
Ia sebenarnya, adalah untuk mengabui mata rakyat, biasalah dalam politik ‘matlamat menghalalkan cara’, jadi untuk PKR tidak mengapa membazir wang rakyat mengadakan PRK Kajang walaupun ketika rakyat berdepan dengan kos sara hidup tinggi,. Bagi PKR yang ‘maha’ utama adalah Anwar menang dan kemungkinan besar Selangor akan mendapat menteri besar PKR yang kedua selepas Tan Sri Khalid Ibrahim.
Namun, di sebalik semua kemungkinan besar bahawa Anwar akan menang dalam PRK Kajang ini, BN terutama sekali Umno tidak boleh duduk berdiam diri dan menganggap PRK ini, sebagai mainan politik pembangkang semata-mata.
Ini adalah masa untuk BN mencuba strategi politik baru dalam ‘rumah’ PR dan membuktikan bahawa parti ini, terus relevan untuk memperjuangkan rakyat serta tidak pernah membelakangkan masyarakat yang tidak diwakilinya.
BN perlu meninggalkan kaedah berkempen konvensional yang selama ini, begitu sinonim dengan parti, dengan berterusan menabur janji projek pembangunan untuk masyarakat setempat.
Apa yang diperlukan BN di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Razak, adalah nafas baru dalam berkempen dan tidak hanya bergantung kepada ‘gula-gula’ politik serta penganjuran pelbagai majlis seperti keramaian untuk menarik undi daripada masyarakat di Kajang.
PRK Sungai Limau di Kedah membuktikan bahawa di sebalik pelbagai majlis dan program dianjurkan agensi dan jabatan kerajaan serta kehadiran barisan menteri berjumpa dengan masyarakat setempat, ia tetap gagal memberikan kemenangan kepada calon BN.
Saya yakin bahawa barisan menteri Kabinet BN sedar bahawa jumlah pengunjung yang hadir pada majlis ketika berkempen tidak menggambarkan sokongan sebenar pengundi.
Ini kerana kebiasaannya penganjur akan ‘mengimport’ pengunjung daripada luar kononnya, untuk membuktikan kepada masyarakat setempat bahawa sokongan rakyat masih kuat terhadap BN tetapi ternyata strategi ini, nyata tidak lagi berhasil dan sudah lapuk.
Atas sebab itu, strategi berkempen untuk PRK Kajang ini, perlu ditukar dengan memberikan suntikan baru terhadap kempen yang diadakan BN sekali gus memberikan tentangan kepada kempen yang dilakukan PR terutama sekali PKR.
Justeru, saya beranggapan bahawa barisan menteri Kabinet BN yang boleh dilabelkan sebagai kumpulan ahli politik bijak pandai dalam parti, turun ke padang dan bertemu masyarakat Kajang secara terus.
Tidak perlu untuk mengadakan majlis atau program yang besar sehingga dilabelkan sebagai mewah serta membazir sebaliknya, turun ke padang berjumpa pengundi dengan mengadakan siri ceramah kecil.
Jika didapati jentera parti BN sama ada Umno, MCA, MIC atau Gerakan dilihat tidak mampu menembusi sesetengah kawasan di DUN Kajang, mungkin boleh digunakan NGO untuk berjumpa dengan masyarakat setempat.