PSM tidak tanding PRK Kajang, anggap tidak masuk akal


mohd nasir hashim

Md Izwan, The Malaysian Insider

Parti Sosialis Malaysia (PSM) memutuskan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang kerana menyifatkannya sebagai langkah tidak masuk akal.

Pengerusinya, Dr Mohd Nasir Hashim, berkata keputusan itu diambil selepas ia dimuktamadkan dalam satu mesyuarat pada 6 Februari lalu.

“PSM merasakan ini adalah keputusan yang paling baik boleh diambil pada masa ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PSM di Brickfields, Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan diura-urakan akan bertanding dalam PRK Kajang.

Dr Nasir menegaskan PRK yang sengaja diadakan tersebut sebagai satu pembaziran wang rakyat.

“Kami berpendapat ini adalah satu pembaziran wang rakyat.

“Justeru itu, PSM tidak berhasrat bertanding dalam satu PRK yang kami sendiri tidak restui dan sebagai tidak patut diadakan di mana seorang Adun meletak jawatan sewenang-wenangnya,” ujarnya lagi.

PSM juga mengakui peluang untuk menang di Kajang bukan mudah, kata Dr Nasir dan menambah tidak wajar untuk mereka bertanding semata-mata hanya untuk memecahkan undi bagi memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) menang dalam PRK kali ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PSM S Arulchelvan berkata, jika PSM membuat keputusan untuk bertanding dalam PRK Kajang ia merupakan satu tindakan tidak berprinsip kerana pada asasnya mereka tidak menyokong PRK tersebut.

“Pilihan raya yang diadakan ini tidak masuk, jika kami bertanding ia menunjukkan sokongan PSM pula.

“Kami tidak menyokong pilihan raya diadakan semata-mata untuk menyelesaikan masalah dalam parti,” kata Arulchelvan merujuk kepada tindakan PKR mengosongkan kerusi Kajang.

Arulchelvan menolak tanggapan mengatakan PSM takut untuk bertanding, sebaliknya menegaskan keputusan tersebut adalah “berprinsip”.

Dalam pada itu, Arulchelvan menggesa penduduk Kajang untuk membuat keputusan yang sepatutnya sama ada untuk memilih Pakatan Rakyat ataupun BN pada PRK kali ini.

“Hak untuk keluar mengundi atau tidak adalah hak mutlak rakyat Kajang dan PSM tidak berhasrat mengambil sebarang komposisi dalam isu ini,” katanya lagi.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...