Melayu, Islam dihina di Tanah Melayu!


slap

Azman Anuar, Utusan Malaysia

(TMI) – Sejak “pengunduran” pemimpin Melayu yang berani dan disegani beberapa tahun lalu, semakin menjadi-jadi pula kalangan bukan Melayu tertentu menghina orang Melayu dan agama Islam.

Mereka lupa taraf kerakyatan yang diterima oleh datuk, nenek dan ibu bapa mereka 56 tahun lalu adalah atas dasar sikap tolak ansur orang Melayu yang tidak dapat ditemui di mana-mana di dunia ini.

Sekarang, bila sudah kaya dan kuasai ekonomi serta pengaruh politik kian bertambah, itupun diberi oleh orang Melayu juga, sikap bukan Melayu semakin berani “bermain dengan api”.

Orang bukan Melayu bukan sahaja dilihat tidak mahu memahami adat, bahasa dan budaya orang Melayu, tetapi mereka tanpa rasa takut cuba “menjolok sarang tebuan”. Tidak tahulah bila agaknya “tebuan” yang cuba mempertahankan sarangnya daripada diceroboh akan bertindak menyerang balik.

Setakat hari ini, kumpulan tebuan belum keluarkan sengat, mereka sekadar “buat bising” dan acah-acah serang supaya penceroboh rasa gementar.

Itulah yang dibuat oleh orang Melayu yang masih bersabar yang entah peringkat apa darjah kesabarannya. Tapi kalau melampau, si tebuan tidak akan berdiam diri. Apatah lagi, jika sarangnya terus diceroboh dan dibakar semata-mata madunya hendak dibawa lari.

Tawaran ganjaran wang untuk ‘menampar’ muka Ahli Parlimen berkenaan dan menyembelih ayam di atas gambar beberapa pemimpin DAP dilihat satu amaran keras daripada segelintir orang Melayu yang teramat marah dan geram. Itulah bibit-bibit yang tidak ingin kita lihat, tetapi itulah orang kata “berani buat, beranilah tanggung”.

Hakikatnya kini, bukan lagi bulan demi bulan, tetapi hari demi hari bukan Melayu semakin berani menghina orang Melayu, agama Islam dan Raja-raja Melayu. Tindakan mereka sekarang bukan sembunyi-sembunyi. Bacalah dalam komen di dalam blog laman sosial.

Kedudukan Melayu dan Islam semakin dicabar. Baru-baru ini guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) mengarah guru mualaf membuka tudung jika ingin terus mengajar di sana, kemudian guru lelaki Cina di SJKC melayan dua murid Islam seperti lembu dengan memakaikan loceng pada leher mereka dan menyuruh makan rumput.

Sebelum itu banyak orang Melayu kecewa dengan layanan diberi kepada individu Cina yang mempersenda orang Islam dan Melayu. Langsung tiada tindakan berkesan.

Terbaharu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan tiga pelakon Cina menghina pemimpin negara dan perajurit di Lahad Datu dalam video sempena Tahun Baharu Cina.

Sentimen perkauman yang dahulu cukup dijaga, hari ini ditelanjang, dihina dengan semahu-mahunya tanpa peduli perasaan orang Melayu dan Islam. Mereka lupa agaknya, Tanah Melayu ini majoritinya ialah Melayu. Langsung tiada rasa hormat lagi kepada pribumi negara ini.

Salah orang kita juga terlalu tolak ansur, takut ambil tindakan terhadap orang yang menghina bangsa dan agama. Akhirnya kita pula dilihat seolah-olah mereka tuan tanah dan kita kaum pendatang dan minoriti dalam negara sendiri.

Pemimpin Cina, Sikh dan India dalam DAP sudah tidak takut pada undang-undang sebab mereka tahu ada kelemahan yang mereka boleh terlepas. Apatah lagi akta-akta yang mereka benci dan takuti dahulu sudah dimansuhkan. Sebab itu kepak mereka semakin berkembang.

Tambahan lagi pemimpin Melayu di sebelah sana pula buat pekak bila agama Islam, hak istimewa orang Melayu, Raja-raja Melayu dalam Perlembagaan dipersenda dan dipertikaikan. Malah ada orang Melayu sendiri yang ghairah mahu tukar kerajaan lalu menggalakkan pula kontrak sosial yang menjadi syarat persetujuan untuk bukan Melayu mendapat kerakyatan itu- dilanggar dan diasak semahu-mahunya.

Hari ini kalau orang Melayu ambil tindakan terhadap pencabar kedaulatan Perlembagaan yang di dalamnya ada institusi Melayu dan agama Islam, orang Melayu pula dipersalahkan. Mereka yang mula bermain api itu dengan bangga mendakwa mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Atas nama kebebasan bersuara, pihak yang menghina Melayu dan Islam itu dilihat terus bergerak bebas tanpa rasa takut, malah macam-macam lagi penghinaan dan provokasi dikeluarkan mereka.

Punca utamanya, undang-undang yang ada bagaikan tidak dilaksanakan. Sudah banyak isu penghinaan dan provokasi ke atas Melayu dan Islam berakhir tanpa apa-apa tindakan yang memuaskan hati orang Melayu. Itulah hasil beribu-ribu siri aduan dan demonstrasi di depan Balai Polis.

Undang-undang negara bagaikan tiada kuasa untuk menghukum golongan itu. Maka entah untuk sekian kali ke berapa, mereka akan terus-terusan bermain dengan api. Api itu makin lama makin marak dan membakar sebahagian orang Melayu. Kita bimbang akhirnya Melayu akan terbakar rentung.

Aduh, sampai bila kita harus biarkan bangsa Melayu dan agama Islam dihina dan dicerca di Tanah Melayu ini.

 



Comments
Loading...