Salleh bidas pembangkang dakwa negara akan muflis
(Bernama) – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah Datuk Seri Dr Salleh Tun Said Keruak membidas pembangkang yang cuba meraih simpati politik dengan menuduh kononnya Malaysia sedang menuju kebankrapan.
Beliau menegaskan kempen Pakatan Rakyat memburuk-burukkan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah retorik politik semata-mata dan kononnya Najib perlu digulingkan demi menyelamatkan Malaysia adalah sesuatu yang tidak berasas.
“Semua kempen pembangkang ini adalah retorik politik semata-mata dan retorik tidak disokong oleh data. Malah jika diamati statistik sebenar, anda akan dapati bahawa apa yang berlaku adalah sebaliknya daripada apa yang diberitahu oleh pembangkang kepada kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar pada jamuan tengah hari di Rumah Rehat di sini hari ini.
Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah menegaskan semua negara mempunyai hutang, waima negara yang paling kaya di dunia sekalipun.
Bagaimanapun, katanya, apa yang lebih penting adalah nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar, dan nisbah tersebut bagi Malaysia adalah lebih rendah berbanding Singapura.
“Eksport Malaysia kian meningkat sejak 2009 malahan kini masih lebih tinggi daripada import. Sementara itu, hutang luar negara pula adalah separuh daripada nilainya jika dibandingkan sepuluh tahun yang lalu,” katanya.
Beliau berkata pada realitinya banyak negara telah mengalami penurunan dari segi eksport kerana nilai mata wang mereka terlalu tinggi.
Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata terdapat segelintir rakyat Malaysia yang tidak memahami bagaimana ekonomi berfungsi lantas mereka percaya dengan propaganda pembangkang.