Permainan Rafizi dan Chin Tong di Selangor
Empire Strikes Back
Dua orang ‘pakar strategi’ inilah yang menjadi minda pencetus Kajang Move bagi memastikan Anwar dapat berkuasa di Selangor.
Dengan yang demikian, sudah pastinya DAP memberi sepenuh sokongan mereka terhadap tindakan Anwar bertanding di Kajang malah memberi restu sekiranya Anwar akan menjadi Menteri Besar kemudiannya kerana dengan Anwar menjadi boneka, banyak kelebihan yang tercipta untuk DAP.
Liew Chin Tong dilihat sebagai orang kanan kesayangan Lim Guan Eng dan ‘penghijrahannya’ dari Pulau Pinang ke Johor telah membantu Chin Tong mengukuhkan kedudukannya di dalam DAP apatah lagi dalam pemilihan semula DAP Johor, Chin Tong dipilih bagi menggantikan Dr. Boo Cheng Hau bagi menerajui pimpinan DAP Johor.
Chin Tong juga digambarkan sebagai antara minda penggerak dan pakar strategi yang memastikan kejayaan Pakatan Rakyat merampas Pulau Pinang sewaktu PRU12.
Pada zahirnya Chin Tong dikenali sebagai seorang yang merendah diri dan disenangi ramai namun jika diperhatikan dengan teliti Chin Tong hanya mendapat sokongan di peringkat pusat tetapi tidak di peringkat akar umbi.
Terdapat juga cakap-cakap yang Chin Tong cuba mendekati pemimpin-pemimpin muda dalam PKR seperti Nurul Izzah dan Rafizi bagi menyuap mereka dengan agenda perjuangan DAP serta membentuk mereka ini selari dengan apa yang DAP mahukan, dan nampaknya Rafizi telah termakan umpan tersebut.
Rafizi tahu hanya dengan menyimpan DAP sebagai kawan adalah salah satu cara bagi memastikan dia dapat mengukuhkan platform karier politiknya dalam PKR lebih-lebih lagi dengan kenyataan bahawa Azmin tidak begitu disenangi DAP.
Pilihan raya kecil Kajang atau lebih popular ketika ini sebagai ‘Kajang Move’ hanyalah satu langkah untuk memastikan Anwar dapat dinaikkan di Selangor bagi menggantikan Khalid Ibrahim. Dengan yang demikian juga DAP akan dapat ‘mengawal’ Selangor dengan Anwar sebagai boneka.
Ia bukannya seperti yang digembar-gemburkan iaitu usaha bagi mengukuhkan Pakatan di Selangor sebaliknya ia adalah langkah untuk membolehkan DAP berbuat sesuka hati di Selangor. Ini kerana dengan Menteri Besar sedia ada, mereka (DAP) tidak dapat menggunakan pengaruh mereka bagi memastikan segala kemahuan dan kehendak DAP dapat ditunaikan.