‘Anwar terdesak di Kajang’
(FMT) – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mendakwa tindakan calon PKR bagi PRK Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyentuh isu penggunaan kalimah Allah di sebuah gereja di Kajang sebagai tindakan seorang yang terdesak.
“Apa yang berlaku di Kajang mutakhir ini membayangkan bagaimana Anwar Ibrahim cukup terdesak untuk mendapatkan undi – secara khusus bagi menyembunyikan permasalahan dalaman parti yang semakin meruncing.
“Tindakan untuk memprovokasi isu yang jelas mempunyai parameter agama, boleh memberikan kita bayangan bahawa keterdesakan ini adalah amat nyata dan menampilkan Anwar sebagai ‘political animal’ yang sangat berbahaya kepada politik Malaysia,” kata Reezal menerusi satu kenyataan kepada FMT.
Tambah Reezal lagi, cendekiawan dan ahli fikir dihormati dalam negara sudah hampir sepakat bahawa isu kalimah Allah ini adalah satu perkara yang tidak wajar dipermainkan oleh mana-mana pihak.
Merujuk kepada pandangan Datuk Dr Siddiq Fadhil dan pemikir Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Syed Ali Tawfik Al-Attas, Reezal mendakwa Anwar berbuat demikian hanya kerana mahu menampilkan ‘semangat liberalisme totok’ yang merosakkan fabrik agama Islam di Malaysia.
“Ini bukan soal berani atau tidak, ini soal perlu atau tidak. Mengguna pentas gereja untuk mendapat populariti politik adalah sesuatu yang amat tidak bertanggungjawab dan memalukan.
“Anwar sepatutnya lebih bijaksana dalam menilai keperluan untuk menyantuni pendirian kalangan cendekiawan Malaysia yang tegap dan tegas di dalam isu kalimah Allah ini,” katanya lagi.