Kalimah Allah: Anwar pertikai titah Sultan Selangor


ANWAR_IBRAHIM_church

(AIDC) – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan Titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah apabila terus membangkitkan Kalimah Allah supaya diberikan penggunaannya kepada bukan Islam.

Anwar dilaporkan Antarapos turut membayangkan akan meminda enakmen tentang larangan penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam kepada enakmen yang “lebih munasabah” jika beliau menang Pilihanraya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dan dipilih menjadi Menteri Besar (MB) Selangor yang baharu.

“Kalau ikut peraturan Enakmen (kalimah Allah) tak boleh pakai, sebab itu kita kata kita kena kaji kemunasabahannya. Saya tak suruh tolak ansur apapun, saya tak suruh panggil gereja itu masjid…tidak. Saya cuma kata kita kaji ikut kesesuaian,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 300 hadirin semasa Majlis Pelancaran bilik gerakan AMK dan jentera DUN Kajang malam tadi.

Ini membayangkan Anwar tidak bersetuju dengan Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 yang menyatakan, seseorang itu didapati bersalah jika dia (a) dalam mana-mana penerbitan; atau (b) dalam ucapan awam atau kenyataan; (c) dalam ucapan atau kenyataan dalam mana-mana majlis atau kepada orang ramai; atau (c) dalam ucapan atau kenyataan yang diterbitkan atau disebarkan dan ketika ia dibuat dia sedar atau tahu akan diterbitkan atau disebarkan, menggunakan perkataan ‘Allah’ atau 34 perkataan Arab termasuk Hadith, Syariah, Khalifah, Fatwa, Alhamdulillah, Insyaallah dan sebagainya.

Dalam ceramah yang sama Anwar juga turut membela tindakan beliau mempertahankan hak penganut Krisitian menggunakan kalimah Allah ketika berceramah di sebuah gereja di Kajang, baru-baru ini.

Bagaimanapun beliau memberi alasan bahawa tindakan itu diambil hanya untuk memastikan penganut bukan Islam menghormati Islam sebagai agama rasmi negara itu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

Namun, kata Anwar ia haruslah dimulakan dengan cara kita terlebih dahulu menghormati agama mereka.

“Tetapi saya tak hina dia, saya tak larang orang Kristian amalkan agamanya. saya tak tunjukkan kebencian saya pada orang Hindu atau orang Buddha, saya hormat dia. Sebab apa? Sebab saya nak dia hormat Islam, dia hormat kedudukan Islam di negeri ini dengan cara kita hormat dia,” katanya.

Dalam ucapannya pada 16 Februari di gereja berkenaan, Anwar memberitahu pengundi Kristian bahawa mereka harus bebas menggunakan kalimah Allah, sekaligus menolak fatwa-fatwa dan enakmen kerajaan negeri Selangor melarang penggunaan kata suci itu oleh bukan Islam.

Ucapan Anwar itu dikecam hebat oleh beberapa mufti, aktivis Islam dan pemimpin Umno sendiri.

Berucap kepada ratusan penganut Kristian, Anwar seolah-olah tidak membezakan penggunaan ungkapan “Lord” yang dirujuk dalam Kristian sebagai Tuhan dan kalimah Allah itu sendiri.

 



Comments
Loading...