DAP atau RoS, Siapa Sebenarnya Mangsa?
Empire Strikes Back
Bagaimana DAP boleh terus berlakon sebagai mangsa bila mereka sendiri yang memilih untuk tidak mematuhi prosedur yang sepatutnya? Atau DAP hanya cuba untuk menyembunyikan kenyataan bahawa pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang dilakukan pada Disember 2012 dan kemudiannya September 2013 memang telah dimanipulasi oleh orang-orang yang berkepentingan di dalam parti bagi melaksanakan agenda mereka?
Walau DAP telah membawa persengketaan dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) ke mahkamah tinggi, RoS masih lagi melakukan siasatan terhadap dakwaan yang dipanjangkan oleh ahli DAP sendiri. Terbaru, melalui surat yang dialamatkan kepada Lim Guan Eng, Setiausaha Agung parti itu, RoS sekali lagi meminta DAP untuk bekerjasama dengan mengemukakan dokumen-dokumen sokongan seperti yang diminta bagi memastikan siasatan dapat dijalankan sebelum sebarang keputusan dapat diambil.
Maklumat tambahan yang diminta oleh pihak RoS adalah seperti berikut:
- Senarai 985 cawangan yang telah diberi status ‘Sijil A’
- Salinan asal borang perwakilan (senarai nama penuh wakil kongres) dari cawangan-cawangan yang menghadiri mesyuarat asal pemilihan CEC pada Disember 2012 dan juga September 2013
- Salinan asal 500 surat pengesahan yang ditandatangani oleh perwakilan-perwakilan yang tidak dapat hadir semasa pemilihan CEC pada Disember 2012
Mengapa DAP enggan bekerjasama dengan RoS? DAP telah diminta untuk menyerahkan maklumat mengenai senarai 985 cawangan yang telah diberikan ‘Sijil A’ sejak dari 6 Disember 2013 lagi. Masakan DAP perlu mengambil masa yang lama untuk mengumpul maklumat terbabit sedangkan semua itu iaitu nama-nama cawangan serta perwakilan adalah maklumat yang telah dipersetujui dan ditandatangani oleh Speaker dan Timbalan Speaker.