Apakah kempen ABU membutakan segalanya?
Timmy Say, The Malaysian Insider
Kempen ‘Asalkan Bukan Umno’ atau ABU, yang bertujuan mengajak rakyat menolak Umno dengan mengundi apa sahaja selain daripada Umno, membawa penyakit kebutaan kepada pengikutnya sehingga mudah dieksploitasi oleh ahli politik yang bermusuh dengan Umno-BN.
Cita-cita, niat dan sentimen golongan yang ingin melihat Umno tumbang kini menjadi satu senjata kepada ahli politik yang bermusuh dengan Umno-BN untuk mengekalkan sokongan mereka meskipun mereka membuat perkara yang silap.
Contoh yang paling mudah dilihat ialah Langkah Kajang. Apabila menemui jalan buntu, ahli politik Pakatan Rakyat menakutkan golongan ini yang tidak bersetuju dengan mereka dengan memberi gambaran bahawa Umno akan kembali berkuasa di Selangor melalui darurat meskipun PR menguasai lebih daripada dua pertiga majoriti di DUN Selangor.
Tatkala golongan ini terus mendesak untuk mendapatkan jawapan kepada kenapa perlunya Langkah Kajang, pihak yang mendalangi langkah kontroversi ini bertindak menjual harapan bahawa pilihan raya kecil ini akan membuka laluan kepada PR, di mana Selangor akan digunakan sebagai batu loncatan untuk merampas Putrajaya daripada Umno.
Ada pula mendendangkan kekalahan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang akan mengkuburkan PR untuk menakutkan golongan ABU. Bagaimana, mengapa dan apakah rasionalnya di sebalik kenyataan tersebut tidak dihurai, seolah-olah gabungan PKR, DAP dan PAS ini hidup bukan atas sebab muafakat, tapi kerana Anwar, demi Anwar dan untuk Anwar.
Golongan ABU yang ingin mengajar PR kerana tidak bersetuju dengan cara PRK Kajang ini dilakukan pula ditakutkan dengan implikasi PRK Kajang sekiranya Anwar menang dengan majoriti berkurangan. Mereka didendangkan bahawa kemenangan dengan majoriti yang berkurangan akan menjadi pemangkin kepada kembalinya keyakinan Umno dan MCA di Selangor.
PRK Kajang yang timbul kerana kemelut dalaman tiba-tiba dihujahkan sebagai sesuatu yang perlu dan medan terpenting untuk mengukur pretasi negara, dan menyatakan ketidakgembiraan golongan ABU terhadap prestasi Umno-BN selepas PRU13 untuk mengekalkan penyertaan mereka yang tidak bersetuju dengan Langkah Kajang.
Bagi golongan ABU yang terus tidak bersetuju dengan Langkah Kajang, mereka dipulau dan digertak dengan kata-kata berbau: ‘pergilah menyokong Umno-BN kalau tidak bersetuju dengan kami.’ Cita-cita mereka melihat tumbangnya Umno kini digunakan sebagai senjata untuk menekan mereka untuk menelan apa yang berlaku di PRK Kajang, dan tanpa disedari, mereka sudah pun menelannya.
Kesimpulannya, ahli politik yang bermusuh dengan Umno-BN kini sudah arif mengeksplotasi cita-cita dan mengalihkan pandangan golongan ABU pada bintik hitam mereka kepada bintik hitam yang ada pada Umno-BN.
Golongan ABU mudah dimobilisasi untuk mempertahankan kesalahan yang dilakukan golongan bukan Umno-BN dengan mencari dan mensensasikan sikap hipokrit Umno-BN yang melakukan kesalahan yang sama.
Kerana benci mereka pada Umno, golongan ABU terlupa hakikat bahawa kesalahan adalah kesalahan tanpa mengira siapa yang melakukannya.
Kerana cita-cita mereka untuk melihat Umno ditumbangkan, golongan ABU sangat mudah terjual dengan segala hujah yang memberikan harapan ‘Umno akan tumbang’. Bayangan ‘Umno akan tumbang’ ataupun akan mendapat malu sudahpun cukup untuk mengurangkan kemarahan dan mengalihkan perhatian mereka pada kesalahan yang dilakukan golongan bukan Umno-BN, meskipun ia serius.