Daim tidak adil, kata Dr Salleh
Semasa Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri kadar inflasi menghampiri 9%
Musli Oli, FMT
Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, membidas bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin kerana tidak adil dalam memberi kritikan terhadap dasar-dasar Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Dr Salleh Said merujuk kepada temubual Daim Zainuddin mengenai dua isu, inflasi dan perpaduan dalam hendaklah ditukar kepada KiniBiz.
Menurut Dr Salleh, pada tahun 1981 bila Tun Dr Mahathir Mohamad mengambil alih kepimpinan negara, kadar inflasi lebih daripada 10%. Pada 1984, bila Daim menjadi Menteri Kewangan, kadar inflasi 4%. Ia kemudian menurun pada tahun 1985 sewaktu berlaku kegawatan ekonomi (recession) di mana keadaan ekonomi, pasaran saham, harga hartanah dan lain-lain juga merudum. Hakikatnya berlaku keadaan deflasi yang mengakibatkan ramai yang muflis.
Justru itu menurut Dr Salleh, inflasi kosong atau keadaan deflasi pada hakikatnya bukannya satu keadaan ekonomi yang baik kepada pengguna dan rakyat terutama kepada pelabur-pelabur.
Pada 1991, bila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Kewangan, kadar inflasi meningkat pada kadar 5%. Tahun 1998, setelah Anwar dipecat, Daim dilantik semula Menteri Kewangan, kadar inflasi meningkat pada kadar 6%.
Semasa Najib Razak mengambil alih jawatan Perdana Menteri kadar inflasi menghampiri 9%. Pada hari ini kadarnya adalah 3%.
Rakyat atau pengundi merungut merungut mengenai kenaikan harga, sesuatu yang menjadi asas kritikan Daim terhadap pentadbiran Najib. Sudah tentu, ada cara menangani isu kenaikan harga tersebut. Salah satu ialah melalui kawalan harga dan kedua ialah melalui pemberian subsidi.
Bagaimanapun menurut bekas Ketua menteri Sabah itu, sekiranya kerajaan memilih cara kawalan harga, kerajaan juga terpaksa membayar kosnya. Daripada mana kerajaan mendapat wang itu? Ia diperolehi daripada cukai-cukai yang juga dipungut daripada rakyat. Rakyat sebagai pengguna juga membayar kos daripada kawalan harga tersebut secara tidak langsung
Dr Salleh mengambil contoh kenaikan harga tol. Kerajaan membayar ratusan juta setiap tahun kepada pemilik konsesi sebagai pampasan untuk tidak menaikkan harga tol. Walhal rakyat Malaysia yang lain di Sabah dan Sarawak, yang tidak menggunakan lebih raya bertol, memberi sumbangan wang yang besar untuk faedah pengguna jalan raya di Lembah Kelang.
Sudah tentu cara seperti ini akan menggembirakan rakyat dan pengguna jalan raya dalam bandar-bandar besar, tetapi persoalannya adakah ini sesuatu yang adil kepada pengguna jalan raya yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai jalan raya yang sempurna, jauh sekali menikmati lebuh raya yang besar?
Seperkara lagi yang disebut Daim ialah kerisauan rakyat tentang politik kaum dan agama. Daim sendiri mengakui parti-parti politik sebagai punca. Memang benar kedua-dua Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) wajar dipersalahkan kerana meniupkan sentimen kaum dan agama, tetapi soalnya, kenapa Daim meletakkan bulat-bulat kesalahan itu pada Najib!