Zaid Jilat Anwar?


Zaid_Ibrahim

Zaid Ibrahim

Saya merujuk kepada kenyataan Profesor Redzuan Othman dari UMCEDEL dalam The Malaysian Insider beberapa hari lalu yang berkata saya pernah menjilat Anwar, sedangkan dia tidak. Sebagai seorang Profesor yang sepatutnya tebal dengan integriti akademik dan profesionalisme, Profesor Redzuan tidak sepatutnya menunjukkan emosi dan kemarahan yang keterlaluan kepada saya semata-mata kerana tulisan saya. Malu nanti pelajar pelajar diuniversiti Malaya.

Dalam bidang psikologi ada disebutkan tentang istilah defense mechanisme bernama “projection” iaitu kita meletakkan pada orang lain sifat yang ada pada kita bagi mengelak orang tahu kita ada sifat itu.

Saya hairan kenapa Profesor Redzuan terlalu obsess dengan Anwar. Hampir semua kajian utama UMCEDEL akan difokus kepada Anwar seolah-olah politik Malaysia ini berkait dengan Anwar semata-mata.

Mengapa kajian UMCEDEL tidak focus sama kepada Datuk Nik Aziz, Datuk Seri Hadi, Tun Mahathir Mohamad atau Lim Kit Siang?

Mari kita ambil contoh kajian UMCEDEL ini:

Kajian UMCEDEL dari 26 Disember 2012 hingga 11 Januari 2013 mendapati 44 peratus responden yang percaya Anwar lebih layak menjadi Perdana Menteri berbanding hanya 31 peratus responden yang percaya Najib lebih layak menjadi Perdana Menteri.

Kajian UMCEDEL dari 3 April 2013 hingga 20 April 2013 mendapati hanya 18 peratus responden yang percaya video seks lelaki mirip Anwar adalah tulen dan 62 peratus responden tidak terpengaruh dengan video seks lelaki mirip Anwar.

Kajian UMCEDEL dari 15 Ogos 2013 hingga 10 September 2013 mendapati hanya 28 peratus responden yang bersetuju Anwar melepaskan jawatan kerana PR gagal menerajui Putrajaya berbanding 55 peratus responden yang tidak bersetuju.

Tidakkah jelas perkaitan Anwar dan UMCEDEL dalam semua kajian ini? Sebelum PRU 13, kajian UMCEDEL cuba menggilap Anwar sebagai bakal Perdana Menteri. Bila Anwar kalah dalam PRU 13, kajian UMCEDEL cuba baik pulih imej Anwar yang telah berjanji letak jawatan jika kalah dengan kata pula rakyat tidak setuju Anwar letak jawatan.

Saya menulis dalam blog tentang kajian UMCEDEL sama ada orang Kajang boleh terima Anwar sebagai Menteri Besar atau tidak. Saya merasa pelik bagaimana satu kajian dibuat begitu cepat tentang perkara yang orang ramai tidak pun mengetahui semasa kajian itu dibuat. Saya bayangkan kajian itu adalah memihak kepada Anwar dan bertujuan memberi justifikasi mengapa pilihan raya diperlukan, dan supaya orang terima Anwar sebagai Menteri Besar.

Profesor Redzuan berkata Anwar sendiri tidak tahu kajiannya mengenai Kajang; Anwar tahu tak tahu itu suatu yang tidak relevan. Soalan yang relevan ialah apakah Profesor Redzuan tahu hasrat Anwar mahu jadi Menteri Besar sebelum kajian dibuat? Sudah tentu Profesor Redzuan tahu, kalau tidak mengapa soalan survey itu bertanya tentang penerimaan orang ramai mengenai pilihan raya kecil dan sambutan orang ramai kepada Anwar sebagai Menteri Besar?

Kalau Profesor Redzuan tahu hasrat Anwar, ini bererti Profesor orang dalam (inner circle) Anwar; kerana waktu itu orang ramai termasuk PAS tidak mengetahui rancangan untuk menukar Menteri Besar ini.

Saya mengemukakan pendapat saya berasaskan pengetahuan saya. Kalau kajian itu dibuat mengikut lunas dan metodologi yang biasa digunakan dalam survey lain maka saya akur dengan keputusan survey itu. Tetapi bukan saya sahaja sangsi dengan keputusan survey; Tan Sri Khalid, Menteri Besar juga turut pertikai keputusan survey itu. Ramai yang anggap terlalu “coincidental” keputusan survey disiapkan sebaik sahaja Anwar umum untuk bertanding di Kajang.

Bagaimana Profesor Redzuan boleh kata Tan Sri Khalid tidak faham metodologi kajian UMCEDEL sedangkan Tan Sri Khalid pakar dalam aspek kuantitatif? Lagi pula, Profesor Redzuan sendiri pakarkah dalam aspek kuantitatif sebab PhD-nya guna metodologi kualitatif saja? Profesor Redzuan bercakap tentang politik Malaysia berdegar-degar ini, beliau pakarkah tentang politik Malaysia sedangkan PhD-nya adalah tentang politik Timur Tengah yang tak ada orang tahu pun apa tajuknya dan tak ada orang jadikan rujukan pun?

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...