Pemilihan PKR: Khalid umum lawan Azmin malam ini?


azmin-khalid-selangor

(Antara Post) – Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijangka menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden PKR pada pemilihan parti itu Mei depan dalam satu majlis malam ini, menurut sumber parti.

Sumber itu berkata Khalid telah mengatur sebuah majlis makan malam dengan pemimpin akar umbi parti di kediamannya.
Majlis itu dinamakan “Malam Kasih Bertaut” dan dijangka membariskan penyokong tegar Menteri Besar itu di dalam PKR dan kerajaan negeri.
“Khalid dijangka mengumumkan beliau akan bertanding sebagai timbalan presiden parti manakala Exco kerajaan negeri Rodziah Ismail akan bersaing untuk jawatan ketua wanita PKR.
“Seorang lagi calon dari kem Khalid yang akan ditampilkan ialah Nazri Yunus untuk jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan,” kata sumber itu.
Rodziah akan mencabar ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin manakala Nazri akan berdepan dengan timbalan speaker Dewan Undangan Selangor Nik Nazmi Nik Ahmad.
Desas-desus bahawa Khalid akan mencabar Azmin Ali untuk jawatan timbalan presiden semakin lantang susulan pertikaian yang semakin memburuk di antara mereka sejak lewat tahun lalu.
Azmin menjadi timbalan presiden PKR sejak tahun 2010 dan tidak lama kemudian menjadi  Pengerusi PKR Selangor, menggantikan Khalid.
Beliau sering menegur Khalid kerana tidak melaksanakan dasar-dasar parti dalam menguruskan kerajaan negeri.
Pertikaian berpanjangan itu dikatakan membawa kepada keputusan PKR untuk “memaksa” pilihan raya kecil Kajang diadakan sebagai keadah meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar menggantikan Khalid.
Menurut sumber, Khalid enggan meletak jawatan sebagai MB secara sukarela, malah mahu menguatkan kedudukannya di dalam PKR, justeru mengambil keputusan untuk melawan Azmin bagi jawatan No. 2 parti.
“Jika Khalid berundur atau dipaksa berundur sebagai MB, pemilihan PKR adalah  satu-satu opsyen yang tinggal kepada Khalid untuk memastikan beliau masih relevan kepada PKR,” kata sumber itu lagi.


Comments
Loading...