Ahli Pas jangan undi calon PKR – Dr. Hasan


img838.imageshack.us_img838_6783_hasanali02july24

(Malaysian Gazette) – Bekas Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali mengingatkan ahli parti itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mengenai apa yang berlaku ke atas Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kata beliau, kes Abdul Hadi disaman sebanyak RM2 juta oleh bekas calon Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin yang juga pemimpin PKR adalah suatu kejadian yang dirancang dengan teliti oleh parti itu bagi menjatuhkan Presiden Pas.

“Kalau PKR menghormati persahabatan dengan Pas yang dibentuk dalam pakatan pembangkang, kenapa pemimpin PKR sanggup saman Abdul Hadi dengan jumlah yang tinggi? Di mana semangat persaudaraan mereka terhadap Pas?.

“Satu lagi, kalau Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar mahu mengeratkan hubungan dengan Pas, beliau sebagai Ketua Umum PKR sepatutnya dari awal lagi menasihati anak buahnya, Mohd Shamsul agar menarik balik saman,” katanya pada sidang media di kediamannya di Taman Tun Dr. Ismail.

Sehubungan itu, Hasan mahu ahli dan penyokong Pas menilai peranan PKR dalam pakatan pembangkang dan pendirian parti itu kepada Pas selama ini dan menterjemahkan pada hari mengundi 23 Mac ini.

Menurut beliau, ahli dan penyokong Pas tidak wajar memberi undi kepada Anwar kerana sudah jelas parti itu mempunyai rancangan teliti untuk menjatuh dan memburuk burukkan Abdul Hadi.

“Sehingga kini ramai dalam kalangan mereka menyatakan rasa kecewa dengan Anwar dan mereka terkejut apabila Abdul Hadi, pemimpin yang disegani dan bertaraf ulama boleh disaman oleh orang PKR,” katanya.

 



Comments
Loading...