Anwaristas dalam PAS cuba jatuhkan Hadi?
Empire Strikes Back
Siapa sebenarnya yang menerima writ saman yang dihantar ke Pusat Khidmat Parlimen Marang sehingga setiausaha politik Hadi Awang sendiri menyatakan dia tidak pernah melihat surat tersebut? Atau ada hantu-hantu dalam pejabat PAS terbabit yang dengan sengaja ‘melenyapkan’ surat tersebut dari ditemui?
Masakan surat penting seperti ini boleh lenyap begitu sahaja tanpa ada sesiapa pun tahu ke mana ia menghilang. Pasti ada yang tidak mahu writ tersebut sampai kepada yang sepatutnya.
Dengan lenyapnya writ tersebut Hadi kini berdepan dengan isu Penghakiman Ingkar Kehadiran yang diperolehi oleh calon PKR DUN Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin daripada Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu. Sebelum meneruskan niat untuk membawa kes tersebut ke mahkamah, Shamsul telah terlebih dahulu meminta supaya Hadi menarik balik kenyataannya serta memohon maaf namun Hadi enggan berbuat demikian.
Benarlah pepatah lama menyatakan kerana mulut badan binasa dan kerana mulut jugalah Hadi diarah supaya membayar RM2 juta kepada Shamsul beserta 5% faedah dari writ difailkan sehingga penyelesaian penuh dan kos tindakan sebanyak RM1,500.
Tidak perlu menuding jari menyalahkan peguam PAS kerana salinan writ saman yang diterima mereka telah melepasi tempoh had 14 hari bagi memfailkan Memorandum Kehadiran.
Tidak perlu menyalahkan Ustaz Zaharuddin Muhammad kerana dia telah menafikan bahawa dia adalah orang yang memberikan maklumat mengenai pil kuda tersebut kepada Hadi. Lagi pula, mustahil bagi pemimpin hebat seperti Tok Guru Abdul Hadi Awang untuk terpengaruh dengan khabar-khabar yang disampaikan dari mulut ke mulut tanpa usul periksa.
Tidak perlu juga berspekulasi bahawa ada puak-puak tertentu yang cuba menjatuhkan Hadi supaya pilihan raya kecil bagi DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang dapat diadakan yang seterusnya membolehkan tampuk pimpinan tertinggi PAS digantikan dengan individu lain.