Jangan teruskan saman Hadi Awang
(FMT) – Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini sekali lagi mengulangi kenyataan bahawa parti tersebut tidak bersetuju dengan tindakan ahlinya menyaman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Pada Febuari lalu, Abdul Hadi diarah membayar saman bernilai RM2 juta setelah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu dalam penghakiman ingkar yang diperoleh bekas calon Pakatan Rakyat (PR) di DUN Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin dari PKR berhubung kes saman fitnah.
“Saya dah terangkan kepada Hadi Awang yang pertama kita telah menasihatkan mesyuarat Majlis Tertinggi PKR bahawa tak wajar diteruskan (saman). Memadai untuk ditemui dan menyampaikan pandangan ataupun minta jasa baik kami untuk atur pertemuan kerana ini bukan sahaja dikalangan sahabat tetapi pimpinan utama dalam PR.
“Kemudian diulangi dalam mesyuarat biro politik PKR. Walaupun dia hujahkan ini melibatkan maruah kemudian ianya terhenti begitu sehingga kita mendapat keputusan mahkamah,” kata Anwar dalam satu sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi PR di Pejabat Agung PAS hari ini.
Tambah Anwar, dia telah meminta Hadi untuk tidak memberikan sebarang balasan lagi.
“Pada mulanya (Datuk) Saifuddin Nasution hubungi dan minta jangan diteruskan, dia setuju. Kemudian saya sendiri bercakap panjang dengan ayahnya, dan dia setuju, dan saya sudah cakap kepada Hadi Awang.
“Tapi nampak gayanya sekarang ini seolah-olah dia nak sambung balik,” tambah Anwar lagi.
Menurut Anwar, Shamsul perlu berfikir tentang strategi bersama dalam PR.
“Kalau nak pilih ucapan memang ada semua yang tersingguhng tapi kita kena fikir keseluruhannya. Apa yang DAP dah bantu kita, apa yang kita bantu PAS dan apa yang PAS sendiri dah bantu kita,” jelas Anwar.