Anwar bukan pejuang pendidikan Cina
Anwar ketika menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1986 cuba memecah-belahkan tulang belakang kepada pendidikan Cina
(FMT) – Pengundi Cina di Kajang perlu memikirkan bahawa calon PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan pejuang pendidikan Cina.
Menurut Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Anwar ketika menjadi Menteri Pelajaran pada tahun 1986 cuba memecah-belahkan tulang belakang kepada pendidikan Cina dan mengasimilasikan sekolah-sekolah Cina ke dalam arus perdana pendidikan nasional.
“Dan itu adalah salah satu sebab mengapa orang Cina tidak menyokong Barisan Alternatif dalam pilihan raya umum tahun 1999 dan 2004,” tulis beliau dalam posting terbaru blognya www.sskeruak.blogspot.com
Katanya, Kajang dilihat sebagai pusat tidak rasmi pendidikan Cina.
“Adalah lebih baik jika pengundi Cina di Kajang untuk mengingati kenyataan bahawa Anwar tidak pernah dianggap sebagai rakan kepada pendidikan Cina seperti mana kepura-puraan beliau kini,” katanya.
Beliau menambah apabila kontroversi pelantikan di sekolah-sekolah Cina ini dibangkitkan pada tahun 1987, Anwar berdegil dan memilih untuk tidak mengubah pendiriannya .
“Dan ini telah mencetuskan protes di kalangan ahli-ahli Barisan Nasional sendiri , yang akhirnya menyebabkan Operasi Lalang tidak lama selepas itu ,” dakwanya.
Dr Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah berkata hal ini adalah bukan sahaja isu yang menjadi kebimbangan pembangkang.
“ Malah dalam Barisan Nasional juga berpendapat bahawa Anwar bukan sahaja salah tetapi juga sangat sombong dengan cara yang beliau mengendalikan isu itu,” ujarnya.
Beliau mendakwa hari ini Anwar cuba untuk mempamerkan dirinya sebagai rakan kepada pendidikan Cina.
“Pengundi Kajang perlu serius memikirkan perkara ini dengan lebih teliti lagi,” jelasnya.
Beliau berkata pada 11 Oktober 1987, perhimpunan yang dihadiri oleh 2,000 orang telah diadakan oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia ( juga dikenali sebagai Dong Jiao Zong) di bangunan Persatuan Hainan di Kuala Lumpur, yang turut disertai oleh ahli-ahli politik daripada Persatuan Cina Malaysia (MCA ) , Parti Tindakan Demokratik (DAP) , Gerakan dan parti berasaskan kaum Cina yang lain.