Salahkah Khalid mendahulukan rakyat?
Anwar patut berterima kasih kerana Khalid berusaha untuk menunjukkan pada umum bahawa PKR mampu mentadbir Selangor dengan baik
Lisa Adam, FMT
Jika langkah yang diambil oleh Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang sah adalah untuk kebaikan rakyat Selangor, mengapa ada puak-puak dalam partinya sendiri bertindak seolah-olah Khalid telah menjual Selangor kepada Kerajaan Pusat untuk memewahkan dirinya?
Apa yang pasti, keputusan dibuat oleh Khalid selepas mengambil kira masa depan dan kebajikan rakyat dan bukan seperti yang lainnya, hanya cakap-cakap kosong atau berputar belit untuk merealisasikan kepentingan peribadi.
Kalau pun Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor tidak diberitahu mengenai perjanjian akhir yang ditandatangani antara Khalid dan kerajaan persekutuan, dia sepatutnya berterima kasih kepada Khalid kerana berfungsi sebagai Menteri Besar dan tidak terus terbuai dengan mimpi ke Putrajaya yang selama ini tidak mendatangkan banyak hasil kepada rakyat.
Mungkin jika Anwar tidak terlalu sibuk dengan cita-cita peribadinya, dia boleh terlibat secara langsung dalam pelan-pelan kerajaan negeri yang mendatangkan faedah kepada rakyat.
Anwar juga patut berterima kasih kerana Khalid berusaha untuk menunjukkan pada umum bahawa PKR mampu mentadbir Selangor dengan baik.
Sepatutnya waktu inilah yang paling sesuai untuk Anwar menyokong Khalid kerana apa yang Khalid lakukan adalah untuk kebaikan rakyat Selangor keseluruhannya.
Tidak perlu merendah-rendahkan Khalid kerana dengan yang demikian hanya menampakkan kebimbangan Anwar tentang kebolehan Khalid mentadbir Selangor adalah lebih baik dari apa yang mungkin dapat dilakukan oleh Anwar sendiri.
Tidak perlu juga mencipta ‘hantu’ untuk menakutkan rakyat Selangor seperti yang dilakukan oleh Rafizi Ramli kerana mata akan memandang, mulut akan bercakap dan jari akan dituding.
Apa yang Rafizi lakukan untuk memajukan Selangor sehingga dia boleh mengkritik Khalid sedemikian rupa?
Adakah Rafizi yakin bahawa harga air tidak akan naik meskipun perjanjian ini tidak dimeterai?