Exco nafi boikot pelancaran jentera PRK PAS Kajang


ISKANDAR-ABDUL-SAMAD

Ikhwan Zulkaflee, FMT

Exco kerajaan negeri Selangor hari ini menafikan pentadbiran negeri memboikot majlis pelancaran jentera pilihan raya kecil (PRK) PAS kerusi  Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang berlangsung Selasa lalu.

Majlis yang dirasmikan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub itu tidak dihadiri oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merangkap Pengarah PRK Kajang Pakatan Rakyat (PR).

Selain Abdul Khalid, kelibat exco-exco kerajaan negeri turut tidak kelihatan dalam majlis itu yang dihadiri oleh beberapa nama besar dalam PR, mengakibatkan timbulnya spekulasi kerajaan negeri telah memboikot majlis tersebut.

Namun, menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar Iskandar Abdul Samad, isu boikot itu tidak timbul.

“Mungkin ketika itu ramai exco yang out station (keluar kawasan). Saya ada di Korea, ada program yang dirancang dari Disember 2013. Ada yang di program-program yang telah dirancang lama seperti (Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan) Datuk Teng Chang Khim dan (Exco Belia Dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam) Dr Ahmad Yunus Hairi yang ada di luar negara juga,” kata Iskandar yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor, menerusi kiriman SMS.

Tambah Iskandar lagi, Abdul Khalid dan barisan exco kerajaan negeri akan berada di Kajang seharian suntuk hari ini bagi menghadiri program mesra rakyat.

“Ada banyak program mesra rakyat kerajaan negeri di Kajang sebelum hari penamaan calon,” tambahnya lagi.

Menurut Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin V. Ganabatirao, dia tidak dijemput untuk menhadiri program tersebut.

‘Saya tidak dijemput’

“Jujurnya saya tidak dimaklumkan ataupun dijemput ke program tersebut. Lagipun saya baru balik dari India awal pagi Rabu lalu dan saya sendiri sibuk.

“Jika saya dimaklumkan lebih awal sudha tentu saya akan hadir kerana saya komited untuk membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim di Kajang,” kata Adun DAP itu menerusi SMS.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...