Khalid tegas tidak akan letak jawatan MB


Khalid Ibrahim

(Malaysian Gazette) – Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa melupakan cita-citanya untuk menjadi Menteri Besar Selangor apabila penyandang jawatan itu Tan Sri Khalid Ibrahim mengulangi keputusannya tidak akan melepaskan kerusi nombor satu Selangor itu.

Beliau yang mengumumkan pendirian itu kepada media selepas menghadiri program bersama rakyat di Taman Mesra Kajang pagi ini, memberitahu, keputusan itu telah dinyatakannya kepada Sultan Selangor dan Exco Kerajaan Negeri.

Keputusan Khalid itu bercanggah dengan kehendak pucuk pimpinan PKR yang mahu Anwar menggantikan tempatnya sebaik sahaja diumumkan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang pada pilihan raya kecil 23 Mac ini.

“Saya sudah mengadap sultan dan memaklumkan pendirian saya kepadanya. Begitu juga dengan barisan Exco, saya juga menyatakan keputusan itu kepada mereka bahawa saya tidak akan sekali-kali meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar,” katanya.

Khalid memegang jawatan itu sejak Pakatan Rakyat (PR) menang Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) dan diberi kepercayaan serta mendapat perkenan sultan untuk beliau meneruskan mentadbir Selangor selepas menang PRU 13 Mei lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Kelang ini juga berkata, jika ada pihak meminta atau mendesaknya supaya menandatangani surat peletakan jawatan, beliau tidak akan berbuat demikian, walaupun ditekan.

Katanya, baginda Sultan Selangor tidak membantah pendiriannya itu, sebaliknya diberi kepercayaan untuk meneruskan kerja mentadbir negeri itu bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga dan terbela.

Ditanya apakah kemungkinan beliau akan menerima tindakan tatatertib kerana ingkar arahan parti, Khalid berkata, parti dan pentadbiran dua perkara berbeza.

“Pelantikan saya sebagai Menteri Besar mendapat persetujuan rakan-rakan parti gabungan dalam PR iaitu Pas dan DAP. Bahkan, sultan pun perkenan dengan pelantikan saya. Sudah tentu apa saja yang berlaku dalam pentadbiran ini saya perlu maklumkan keputusan saya kepada istana dan Exco.

“Jawatan Menteri Besar ini hanya bertukar kalau saya menandatangani surat peletakan jawatan, tetapi saya tidak berbuat demikian dan tidak akan melakukannya (tanda tangan),” ujar beliau.

Terdahulu Khalid menyempurnakan pelancaran program kemahiran teknikal bagi belia luar bandar dan pemberian insentif bas sekolah kepada anak-anak kampung dalam daerah Hulu Langat.

Beliau juga turut menyampaikan bantuan dan beramah mesra dengan penduduk daerah itu, dalam usahanya membantu Anwar berkempen.

 



Comments
Loading...