Misteri dan Sumpahan sebuah Kampung bernama Kampung Labu Kuchi
Pampasan diberikan namun kelakarnya penerima pampasan bukanlah penduduk asal kampung ini sebaliknya individu-individu yang rapat dengan seorang Pegawai di pejabat Menteri Besar Perak yang juga merupakan bekas ADUN yang pernah melompat parti.
Edwin Michael, Penasihat Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Labu Kuchi
Masyarakat India di negara ini semacam terkena sumpahan dan badi entah daripada siapa tidak tahu. Hasil produk kerajaan Barisan Nasional selama lebih 56 tahun adalah kewujudan satu kelas bawahan dalam masyarakat India yang bilangannya tidak terkira serta hidup terasing di negara sendiri. Bagi masyarakat India kelas bawahan ini, janji kerajaan tiada erti!
Kampung Labu Kuchi, Kampar ini merupakan satu perkampungan yang terasing daripada pembangunan selama lebih seratus tahun. Kampung Labu Kuchi yang sebenarnya layak untuk digazetkan sebagai perkampungan warisan ini seolah-olah sengaja dipinggirkan dan selama ini tiada sebarang perhatian pernah diberikan oleh Kerajaan Negeri mahupun Pusat ke atas penduduk-penduduk di sini. Rumah yang usang, semak samun, binatang berbisa, kanak-kanak yang tiada sijil beranak, anak-anak muda India yang tercicir pendidikan, kewujudan aktiviti rangkaian jenayah dadah malah bilangan keluarga yang kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang tidak terkira.
Dalam keserabutan menguruskan rutin harian yang sememangnya tidak terurus, mereka perlu kosongkan rumah masing-masing untuk memberikan laluan kepada projek pembangunan di sini.
Pampasan diberikan namun kelakarnya penerima pampasan bukanlah penduduk asal kampung ini sebaliknya individu-individu yang rapat dengan seorang Pegawai di pejabat Menteri Besar Perak yang juga merupakan bekas ADUN yang pernah melompat parti sebelum ini yang terlibat dalam pengagihan lot-lot tanah dan pampasan kepada mereka. Misterinya, jika dakwaan ini salah bukankah sudah lama beliau tampil menjernihkan situasi ini?
Bagaimana pampasan ini diagihkan? Siapa yang terlibat dalam urusan agihan pampasan ini? Mengapa Majlis Daerah Kampar (MDK) dan Pejabat Daerah dan Tanah Kampar (PDTK) boleh mengadakan pertemuan dengan kumpulan yang setuju menerima pampasan ini secara tertutup sedangkan hingga ke hari ini kedua-dua pihak ini enggan bertemu dengan lebih daripada 60 keluarga asal yang sudah menetap di Kampung Labu Kuchi sejak turun temurun? Misteri.
Berdasarkan bancian 2006 yang dijalankan oleh PDTK, terdapat 145 keluarga yang layak untuk menerima pampasan namun hingga ke hari ini PDTK memilih untuk biarkan penduduk di sini tenggelam dalam misteri dengan tidak mendedahkan senarai lengkap 145 keluarga berkenaan. Mengapa? Apakah kemungkinan nama-nama mereka yang sudah pun menerima pampasan ini tidak terkandung dalam senarai 145 keluarga ini? Misteri!
Jawatankuasa Bertindak Penduduk Kampung Labu Kuchi sudah pun menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Perak melalui Penasihat beliau. Begitu juga kepada PDTK serta MDK. Semua membisu. Mungkin sengaja biarkan kabus misteri menjalar selubungi Kampung Labu Kuchi adalah perkara terbaik bagi mereka agaknya.
Malah sekarang persoalan yang sedang bermain-main dibenak fikiran penduduk-penduduk disini ialah apakah satu lot tanah beserta pampasan RM 20,000 itu sudah memadai memandangkan untuk membina sebuah rumah di lot tanah itu pada masa sekarang sudah boleh menjangkau lebih daripada RM50,000.
Jika Kerajaan Negeri boleh melaburkan jutaan ringgit atas nama pembangunan maka apakah terlalu sukar untuk melabur membina rumah yang selesa didiami buat rakyatnya sendiri?
Kabus misteri masih menyelubungi Kampung Labu Kuchi. Sumpahan masih berbisa dikala penduduk meneruskan hari-hari suram mereka di kampung ini. Jika benar Kerajaan Negeri Perak bertunjangkan prinsip ‘Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir’ maka sudah tentu YAB Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sahaja yang mampu merungkaikan misteri dan sumpahan Kampung Labu Kuchi ini.
Kini, apakah Kerajaan Negeri ikhlas berbuat sedemikian ataupun mahu biarkan satu lagi kisah Kampung Hakka Mantin berulang di Kampung Labu Kuchi Kampar?