Anwar perlu talian hayat politik


anwar ibrahi

Azmi Tarmizi, Sinar Harian

Mahkamah Rayuan semalam memutuskan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersalah terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Balia Yusof Wahi yang bersidang bersama Datuk Aziah Ali dan Datuk Mohd Zawawi Salleh membuat keputusan itu terhadap Anwar, 67, selepas mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi.

Semasa membenarkan rayuan pihak pendakwaan, Hakim Datuk Balia Yusof Wahi berkata, Hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf dalam membuat penghakimannya bahawa sampel DNA telah dicemari.

Pada 9 Januari 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat Mohd Saiful di Kondominium Desa Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Semasa melepas dan membebaskan Ketua Umum PKR itu, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, mahkamah tidak 100 peratus pasti mengenai kewibawaan sampel yang diambil untuk ujian DNA daripada Mohd Saiful kerana sampel berkenaan telah dicemari sebelum ia tiba di Jabatan Kimia untuk dianalisis.

Namun mahkamah mendapati berlaku penetrasi dalam dubur bekas pembantu peribadi ketua pembangkang itu berdasarkan keterangan tiga doktor.

Bagaimanapun Hakim Mohamed Zabidin menjelaskan, disebabkan tiada keterangan sokongan, adalah tidak selamat untuk mahkamah mensabitkan Anwar dengan tuduhan liwat memandangkan integriti sampel telah tergugat sebelum dihantar untuk analisis kimia.

Hujah penghakiman itu memberikan mesej jelas: Anwar terlepas daripada hukuman kerana teknikal tetapi persoalan pokok terjawab bahawa penetrasi berlaku.

Ini merupakan pertuduhan liwat kedua terhadap Anwar. Pada 2000, beliau dituduh meliwat pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar.

Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi kerana meliwat Azizan, tetapi empat tahun kemudian Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman penjara tersebut.

Karier politik Anwar kini bergantung kepada rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan. Bagaimanapun Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan hukuman penjara dan dikenakan jaminan RM10,000 sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Anwar pernah ditahan selama 22 bulan semasa menjadi pemimpin pelajar pada 1974-1975 dan enam tahun pada 1998 hingga 2004 atas tuduhan liwat dan rasuah.

Kes ini bermula pada 28 Jun 2008, apabila Saiful membuat laporan polis di Balai Polis Travers, Kuala Lumpur bahawa Anwar meliwatnya beberapa kali, termasuk kali terakhir di sebuah kondominium di Damansara.

Pada Julai 2008, Anwar telah ditahan sepasukan polis, kira-kira 1km dari rumah beliau di Bukit Segambut. Beliau ditahan di lokap polis dan dibebaskan keesokan harinya selepas Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Anwar  dibawa ke Hospital Besar Kuala Lumpur untuk pemeriksaan. Anwar mendakwa telah ditelanjangkan semasa pemeriksaan itu tetapi enggan membenarkan sampel DNA beliau diambil dengan alasan ia boleh dimanipulasi.

Pada Ogos 2008, Anwar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meliwat Saiful mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Anwar mengaku tidak bersalah atas tuduhan itu yang disifatkannya ‘berniat jahat dan fitnah terhadap dirinya’.

Saiful membuat sumpah laknat di Masjid Wilayah Persekutuan dan tidak berganjak daripada dakwaannya.

Semalam, Saiful dalam laman blognya melahirkan rasa bersyukur kerana penantiannya selama enam tahun akhirnya terjawab dengan keputusan memihak kepadanya.

“Benar janji Allah, yang hak pasti mengatasi yang batil. Berkat doa, istiqamah dan sabar selama enam tahun. Saya bersyukur ke hadrat Ilahi dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada saya,” katanya.

Timbul persoalan sama ada Anwar mahu meneruskan atau tidak hasrat  untuk bertanding pada PRK Kajang kerana sekiranya gagal mendapatkan ‘talian hayat’ di Mahkamah Persekutuan, beliau akan hilang segala-galanya.
Bukan sahaja harapan untuk menjadi Menteri Besar Selangor lebur, hajat untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia turut berkubur.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh akan turut melayang, jawatan Ketua Pembangkang pun tidak layak dipegang.

Mengikut undang-undang, seorang Ahli Parlimen atau Adun yang dipenjara selama setahun atau lebih dan dikenakan denda RM2,000 atau lebih akan hilang kelayakan mereka dan pilihan raya perlu diadakan.

Anwar yang ditemui semalam berkata, beliau tidak akan bertanding di Kajang. Siapakah yang akan menggantikan beliau?

Apakah Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli atau anak sulung Anwar, Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR atau mungkin Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution?

Penganalisis politik, Dr Azmi Hasan berpendapat, keputusan bersalah terhadap Anwar memberi peluang kepada PKR membetulkan sebagai apa yang didakwa kesilapan dalam ‘Kajang Move’.

“Ini peluang terbaik untuk PKR menunjukkan kepada pengundi Kajang bahawa mereka mementingkan kebajikan rakyat, bukan parti,” katanya.

Ada juga yang mempertikaikan mengapa mahkamah memilih tarikh perbicaraan hampir dengan tarikh PRK Kajang.

Jawapannya mudah. Tarikh perbicaraan ditetapkan sejak awal namun ditangguhkan 61 kali atas permohonan Anwar manakala PRK Kajang berlaku apabila bekas Adun, Lee Chin Cheh, tiba-tiba meletak jawatan untuk memberi laluan Anwar bertanding di situ.

Justeru, siapakah yang merangka storyboard di Kajang?



Comments
Loading...