Anwar digagalkan peguam DAP!


Anwar Ibrahim

Anak Reformasi

Pasukan pembelaan yang didominasi oleh DAP serta ketiadaan Sankara Nair, peguam yang sekian lama setia bersama Anwar, seperti mengiakan bahawa Anwar berada di bawah telunjuk DAP.

Memang tidak perlu untuk menuding jari menyalahkan pelbagai pihak bila semuanya berpunca dari Anwar sendiri. Meskipun ramai yang tidak bersetuju dengan keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Rayuan, Anwar pasti lebih tahu bahawa ini adalah harga yang perlu dibayar untuk sesuatu yang datang dari pihaknya sendiri. Dia tahu.

Apa yang sedikit menghairankan adalah, sepanjang proses rayuan pendakwaan terhadap Anwar, kelibat Sankara Nair langsung tidak kelihatan. Jangankan sebagai salah seorang dari pasukan pembelaan Anwar waima sebagai pemerhati. Adakah Anwar telah berkerat rotan dengan orang yang banyak membantunya sejak dari kes Sodomi 1 lagi?

Setelah R. Sivarasa, Latheefa Koya, Sulaiman Abdullah dan konco-konconya yang lain diketepikan dari terus terlibat dalam kes ini, ramai dalam PKR sedar bahawa persediaan yang dilakukan bagi menghadapi pertuduhan tersebut dibuat seperti melepaskan batuk di tangga dan pasukan pembelaan yang dipilih dilihat tidak begitu meyakinkan.

Anwar sendiri sedar bahawa pasukan yang akan bertindak sebagai pembelanya dalam mahkamah bukanlah dari pasukan yang terbaik namun memilih untuk hanya menurut kerana mereka ini adalah dari kalangan ahli PKR sendiri.

Kemudiannya Sankara diminta oleh beberapa individu – yang tidak lagi bersama Anwar – untuk membentuk kumpulan pembelaan bagi menggalas tugas membela Ketua Umum PKR ini. Semua ini dilakukan melalui Wan Azizah malah Nurul Izzah sendiri.

Dengan yang demikian Sankara telah membawa Karpal dan beberapa individu yang lain masuk bagi menggantikan pasukan yang sebelumnya. Sankara juga bertanggungjawab menyelaras kes tersebut selain daripada bekerja bersama pakar DNA dan juga wakil yang lain bagi memastikan pertuduhan terhadap Anwar digugurkan.

Sebagai seorang yang banyak menyumbang dan bekerja membantu memperoleh keputusan tidak bersalah bagi Anwar Ibrahim, ketidakhadiran Sankara dalam proses rayuan pendakwaan ini mengundang pelbagai soalan.

Kebenarannya, Sankara telah diketepikan oleh Karpal, seorang yang memang terkenal dengan keegoannya yang juga ‘tangan DAP’ yang menggenggam serta mengawal Anwar. DAP memang telah diketahui menggunakan Anwar sebagai platform bagi menjual agenda mereka kepada orang-orang Melayu.

Anwar juga hanya berdiam diri kerana memang tiada apa yang mampu dilakukan olehnya apabila berhadapan dengan Karpal meskipun dia mahu Sankara kembali di dalam pasukan guamannya.

Mungkin tidak salah untuk mengatakan bahawa kegagalan Anwar untuk mempertahankan keputusan tidak bersalahnya adalah disebabkan kegagalan Karpal bertindak sebagai pembela yang bagus. Mungkin juga keputusannya akan berbeza sekiranya ia adalah Sankara Nair.

Walau apa pun Anwar telah terlalu banyak dikompromi. Dia hanya boleh menyalahkan dirinya sendiri kerana apa yang berlaku sekarang adalah kesan daripada perlakuan dan tindakan yang diambilnya sendiri. Kini dia hanya akan menjadi alat yang lebih besar kerana DAP akan mengambil peluang ini untuk meniup hasutan buat ahli-ahli PKR bangun membela Ketua Umumnya sedang Karpal sendiri gagal untuk membelanya.

Apabila ada yang cuba menyatakan bahawa PKR terutama Ketua Umumnya adalah boneka DAP, maka ramailah yang naik hantu sedang hakikatnya mereka di dalam PKR kini menari mengikut rentak yang dimainkan oleh DAP. Jika Sankara Nair sudah ‘merasa’ pahitnya kebenaran ini, yang lain bila lagi?

 



Comments
Loading...