Ayam menang kampung tergadai: mampukah Azizah sekat pengaruh DAP?
Empire Strikes Back
Adakah tradisi tunduk kepada DAP yang bakal diwariskan oleh Anwar Ibrahim akan diteruskan oleh Wan Azizah? Apatah lagi dengan kebanyakan pemimpin atasan PKR yang asyik bertelagah sesama sendiri bagi memastikan survival politik masing-masing.
Walau terdapat sentimen untuk memperkukuh kedudukan parti bagi membela Anwar, keadaan PKR yang semakin lemah, memudahkan DAP untuk menyerap agenda mereka ke akar umbi PKR. Dominasi DAP dalam kes rayuan Anwar sendiri boleh dijadikan kayu pengukur sejauh mana DAP telah ‘meresap’ ke dalam PKR.
Pencalonan Wan Azizah sebagai ganti Anwar di Kajang disambut baik oleh rakan Pakatan Rakyat yang lain meskipun ada sesetengah penyokong tegar Azmin Ali yang tidak bersetuju dan pemilihan tersebut dilakukan oleh Anwar sendiri tanpa melalui sebarang perbincangan dengan biro politik PKR. Terdapat juga cakap-cakap yang pencalonan Wan Azizah hanyalah untuk meredakan ketegangan di kalangan warga PKR sendiri terutamanya di peringkat akar umbi.
Walaupun ia kelihatan seperti Anwar mengamalkan nepotisme namun rata-rata faham Azizah adalah calon yang paling sesuai dan paling dipercayai Anwar bagi memanaskan kerusi DUN Kajang, barangkali juga jawatan Menteri Besar Selangor untuk tempoh masa 5 tahun sepanjang Anwar berada di Sungai Buloh.
Sememangnya Wan Azizah adalah contoh wanita serta isteri yang penyabar dan teguh berdiri di belakang suaminya tatkala Anwar terpaksa berhadapan dengan pelbagai tuduhan dan kes mahkamah. Ketenangan dan kehibaan yang terpancar di wajahnya ketika pertuduhan demi pertuduhan liwat suaminya dipaparkan di segenap dada akhbar mudah mengundang simpati umum. Jika wanita lain pasti sudah lain jadinya.
Namun pokok persoalannya sekarang adalah sama ada PKR memerlukan seorang wanita contoh atau ikon, atau mereka sebenarnya memerlukan seorang pemimpin bagi memastikan PKR mampu terus bertahan?
Tidak dinafikan bahawa Wan Azizah akan dapat menarik lebih banyak sokongan terutamanya dari golongan atas pagar lebih-lebih lagi dengan nyanyian-nyanyian sumbang rakan pembangkang yang lain terutamanya DAP tentang bagaimana Anwar adalah mangsa ketidakadilan sistem perundangan Malaysia dan juga mangsa kekejaman pentadbiran UMNO/BN. Namun tanpa kebolehan memimpin yang betul, ke manakah arah semua sokongan ini akan dijuruskan? Tidakkah PKR merasakan bahawa telah tiba masanya pemimpin muda seperti Nurul Izzah diberikan peluang untuk meneruskan kelangsungan parti?
Jika dibandingkan dengan Nurul Izzah, Wan Azizah tidak lebih dari seorang isteri contoh yang baik dan keupayaannya memimpin masih diragui kerana selama dia berkecimpung di dalam arena politik, Wan Azizah hanya bertindak sebagai proksi kepada suaminya, Anwar Ibrahim, tidak lebih dari itu. Sebarang keputusan atau kata putus semuanya datang dari Anwar atau Azmin.
Situasi di Kajang boleh disamakan dengan Permatang Pauh. Wan Azizah hanya dibawa masuk kerana terdapat sentimen Anwar yang sangat kuat dan bukan kerana keupayaannya memimpin.
Sekiranya PKR mahu memperkukuhkan parti dari anasir-anasir luaran mahupun di kalangan ‘rakan’ dalam Pakatan Rakyat, maka PKR tidak punya banyak pilihan selain daripada memastikan individu yang memegang tampuk kepimpinannya adalah orang yang mampu untuk menggalas tugas tersebut. Ini kerana PKR yang lemah hanya akan memudahkan lagi kerja-kerja musuh dalam selimut yang hanya akan mempergunakan parti ini untuk menjulang agenda mereka.
Peluang, jika ada harus dipergunakan, tanpa kenal erti kawan atau lawan. Yang paling jijik adalah apabila yang disangka kawan itulah sebenarnya yang akan memusnahkan PKR dari dalam. Entah sampai bila Melayu-Melayu dalam PKR hendak sedar bahawa mereka telah ‘dijual’ kepada DAP oleh pemimpin mereka sendiri.