Bersih 2.0 lancarkan Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi Ahmad


Maria Chin Abdullah - Photograph: Bersih

Maria Chin Abdullah – Photograph: Bersih

Aliran Editorial, ALIRAN

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) pada 4 Mac melancarkan Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi untuk menggesa Majlis Angkatan Tentera Malaysia menggugurkan kesemua tujuh tuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad yang membuat laporan polis mengenai dakwat kekal.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sendiri telah mengaku dalam laporan media mengenai kegagalan dakwat kekal, yang turut dilaporkan oleh ratusan pengundi. Jadi kenapa pula tindakan ini diambil terhadap Mejar Zaidi yang berkata apa yang benar demi kepentingan awam?” kata Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah.

Maria mendedahkan bahawa Bersih 2.0 akan menghantar surat rasmi kepada Majlis Angkatan Tentera hari ini untuk menyeru supaya pertuduhan Mejar Zaidi digugurkan.

Katanya, Bersih 2.0 menganjurkan Kempen Rakyat Sokong Mejar Zaidi melalui media sosial supaya ribuan rakyat bersatu menyuarakan ketidakpuasan mereka mengenai tindakan mahkamah terhadap Mejar Zaid.

“Bersih 2.0 percaya bahawa ramai rakyat Malaysia merasakan Mejar Zaidi tidak seharusnya dihukum tetapi disanjungi kerana kejujuran dan keberaniannya untuk menegakkan kebenaran,” kata Maria.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah memulakan kempen sosial media “Rakyat Sokong Mejar Zaidi”.

Jelasnya, semua penyokong diminta mengambil gambar mereka bersama kad yang menyatakan “Gugur pertuduhan Mejar Zaidi” atau “Hukum SPR, bukan Mejar Zaidi” dan menerbitkan gambar tersebut dalam Facebook dan Twitter masing-masing dengan hashtag #sokongzaidi sebelum perbicaraan Mejar bermula pada bulan April.

Satu rombongan Bersih 2.0 yang terdiri daripada Maria, Naib Pengerusi Semenanjung Utara Dato’ Dr Toh Kin Woon, ahli Sekretariat Mandeep Singh dan Adam Adli, serta bendahari Ikram Mustafa Basri dan bendahari Aliran Anil Netto telah melawat Mejar Zaidi di rumahnya di Bertam/Kepala Batas pada 24 Februari.

Mejar Zaidi dituduh melanggari arahan Majlis Angkatan Tentera Malaysia dengan membuat laporan polis mengenai dakwat kekal yang digunakan dalam pengundian awal di Pilihan Raya ke-13.

Beliau dikenakan tiga lagi tuduhan membuat kenyataan media tanpa kebenaran dan menghantar dua SMS yang berbau politik.

Jika Mejar Zaidi didapati bersalah, beliau mungkin kehilangan pencen dan faedah lain. Ini merupakan ketidak-adilan yang tidak boleh diterima oleh rakyat, kata Maria.

“Mejar Zaidi ialah wira negara yang sebenarnya. Jika kesemua rakyat seperti Mejar Zaidi berani bersuara mengenai yang benar dan adil, pastinya kurang kepincangan dalam sistem pentadbiran negara,” katanya.

READ MORE HERE

 



Comments
Loading...