Kajang Move bukti gagal tunai janji PRU13


wan azizah vs mei fun AP

(Sinar Harian) – Slogan ‘Kajang Move’ yang diuar-uarkan pembangkang dan pelancaran manifesto PKR baru-baru ini jelas menunjukkan Kerajaan Negeri Selangor masih gagal mengotakan janji PRU13 sehingga memaksa Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengemukakan janji baharu bagi PRK N25 Kajang.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, manifesto isteri ketua pembangkang itu merupakan satu tamparan hebat kepada pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Nampaknya apabila kerajaan negeri tidak dapat tunaikan manifesto PRU13, Wan Azizah pula terpaksa keluarkan manifesto baharu.

“Kajang Move dengan jelas menunjukkan manifesto lalu gagal dicapai sekali gus menjadi teguran hebat kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Manifesto BN di Bilik Gerakan Induk MCA PRK, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut pelancaran Manifesto PKR pada Rabu lalu yang memberikan empat komitmen Wan Azizah termasuk janji untuk meningkatkan prestasi kutipan sampah di kawasan Kajang.

Tiga lagi teras ialah membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan, pembangunan anak muda dan usahawan kecil serta menangani masalah kesesakan lalu lintas.

Setiap komitmen itu dicetak pada poskad yang mengandungi pernyataan berkenaan dan gambar beliau dalam situasi berbeza.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, manifesto tambahan itu juga menunjukkan Wan Azizah lebih tahu mengenai banyak isu tempatan termasuk kerosakan jalan raya, banjir kilat dan kesesakan lalu lintas yang semakin meruncing.

Tambah beliau, pemilihan Datin Paduka Chew Mei Fun untuk mewakili BN di Kajang amat bertepatan bagi mengatasi kelemahan dan kegagalan kerajaan negeri menyelesaikan banyak masalah tempatan itu.

“Komitmen Mei Fun tepat dan jelas apabila beliau sendiri akan memantau bagaimana kerajaan negeri buat kerja mereka.

“Sebab itu Kajang perlukan wakil rakyat dari BN. Apabila kita menang, MCA dapat hantar wakil untuk suarakan lebih lantang hal ehwal rakyat serta selesaikan isu rakyat dengan lebih berkesan,” katanya lagi.



Comments
Loading...