Melayu Kajang masih tak terima PR


PRK-KAJANG

(Sinar Harian) – PR mengakui berdepan kesukaran untuk menawan hati pengundi Melayu di Kajang.

Timbalan Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Zuraida Kamaruddin berkata, hasil tinjauan jentera dalam tempoh berkempen berdasarkan pecahan kaum direkodkan hanya 45  peratus daripada jumlah pengundi Melayu menyatakan sokongan kepada PR.

“Berbanding 75 peratus sokongan daripada kaum Cina manakala India memberi sokongan 55 peratus.

“Untuk pecahan kaum Melayu, kita masih di tahap 45 peratus. Sasaran sebenar kita ialah 60 peratus, jadi minggu terakhir kempen kita fokus kepada kawasan Melayu untuk dorong mereka keluar mengundi dan mempertingkat sokongan kepada kita 23 Mac ini,” katanya ketika sidang media, hari ini.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Ketua Penerangan Pas Pusat, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pula mendakwa, sepanjang kempen beliau turun ke akar umbi bertemu pengundi terutamanya Melayu mendapati BN masih menggunakan taktik lama iaitu wang untuk tarik pengundi Melayu.

“Bagaimanapun ada pengundi yang bijak dan berfikir kerana bukan wang yang dikejar mereka sebaliknya jaminan keselamatan dan keselesaan di jalan raya.

“Skil BN ‘money talks’ datang sini umum peruntukan itu ini. Oleh itu, PR kena sasar kaedah untuk berdepan dengan kumpulan yang cuma gemar bermewah-mewah dengan keseronokan macam tu,” katanya.

Senada dengan respons Muhammad, Zuraida berkata, pengundi lama masih setia kepada BN walaupun tahu kepincangan parti itu.

“Pengundi saluran satu dan dua adalah orang lama. Jadi mereka tahu tapi tak boleh terima PR sebab seolah-olah sokongan terhadap BN itu diwarisi turun-temurun. Ini macam kisah suami isteri tak suka sesama sendiri tapi tak pula bercerai.

“Bagaimanapun pengundi muda tidak ada masalah kerana Kajang ialah lokasi urban dan mereka terdedah dengan media alternatif. Tak sukar untuk tawan hati mereka,” katanya.



Comments
Loading...