Wan Azizah Kuda Baru DAP?
Empire Strikes Back
Selepas Anwar Ibrahim gagal ‘mempertahankan’ keputusan tidak bersalahnya dalam kes Sodomi II, adakah kini tumpuan dan ‘sokongan’ DAP terarah kepada Wan Azizah? Dari pena Liew Chin Tong, DAP nyata sudah bulat menjulang Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar dan seterusnya Perdana Menteri yang kononnya mampu membawa perubahan besar dalam landskap politik Malaysia.
Persoalan sama ada Wan Azizah mampu untuk menjunjung amanah sebesar ini mungkin tidak perlu dibangkitkan kerana sekiranya keadaan yang sedemikian berlaku, pasti ramai dari kalangan ‘rakan’ dalam Pakatan Rakyat yang sedia ‘membantu’.
Tanpa berselindung lagi bahawa Kajang Move adalah untuk agenda politik peribadi Anwar Ibrahim, Chin Tong dan DAP terus memuji-muji Wan Azizah sebagai pemimpin yang berimej bersih dan sinonim dengan perjuangan menuntut keadilan.
Keadilan apa yang diperjuangkan oleh Wan Azizah selama ini selain daripada keadilan untuk menyelamatkan suaminya, yang seperti tidak serik-serik mencemar maruahnya sendiri. Jika perjuangan seperti ini yang menjadi kayu pengukur, maka ramai lagi wanita di luar sana yang berhadapan dengan keadaan yang menuntut mereka berjuang demi kelangsungan hidup yang boleh dijadikan contoh.
Pemimpin jenis apa pula Wan Azizah ini? Sebagai salah seorang pengikut Reformasi 1998 juga salah seorang arkitek di belakang Kajang Move, adakah mungkin Chin Tong lupa tentang Permatang Pauh? Senario di Kajang ketika ini tidak ubah seperti Permatang Pauh. Mengapa Chin Tong dan Rafizi mahu mengheret Kajang dalam politik Anwar Ibrahim?
Adakah mereka berani bertaruh nyawa bahawa Wan Azizah tidak akan melakukan tindakan yang sama sekiranya Anwar berjaya dalam rayuannya? Atau beranikah PR memberi jaminan bahawa Wan Azizah akan diberi kuasa penuh untuk meneraju PKR tanpa ada campur tangan dari Anwar dan juga DAP?
Sekiranya nama Anwar terpadam dari PKR atau dia menjadi tidak relevan lagi, adakah Wan Azizah akan menerima perhatian seperti yang diterimanya hari ini? Jangankan sebagai calon Perdana Menteri sebagai AJK cabang pun belum tentu. Waktu ini, kedudukan Wan Azizah sangat mudah dimanipulasi, terutamanya oleh pihak yang sentiasa berpura-pura menjadi kawan sedang kenyataannya hanya mempergunakan sokongan Melayu bagi menjatuhkan Melayu yang lain.